Rabu, 14 Mac 2012

Krisis Kedah & kemelut Hasan: PAS harus salahkan diri sendiri

Dalam perkembangan terkini Azizan mempertikai peranan jawatankuasa pemandu yang menurut beliau tidak termaktub dalam Undang-Undang Kanun Negeri Kedah.



Kepimpinan PAS pusat harus menyalahkan diri sendiri dalam krisis kepimpinan PAS Kedah di antara Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Dato’ Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Ini kerana menurut Phahrolrazi dalam kenyataan terbuka dalam media minggu lepas, beliau menyatakan bahawa beliau pernah membangkitkan dan membawa masalah yang melanda pentadbiran kerajaan negeri Kedah membabitkan Azizan ke pengetahuan pemimpin PAS pusat.

Bagaimanapun menurut beliau tiada sebarang tindakan berkesan diambil dan beliau melahirkan rasa lega apabila akhirnya PAS pusat campur tangan dalam menyelesaikan kemelut tersebut dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu (steering committee).

Namun begitu, dalam perkembangan terkini Azizan mengeluarkan kenyataan mempertikai peranan jawatankuasa pemandu yang menurut beliau tidak termaktub dalam Undang-Undang Kanun Negeri Kedah.

Ini menunjukkan krisis di Kedah masih belum menemui jalan penyelesaian dan dijangka akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Azizan dilaporkan semakin uzur dan sering kurang sihat namun beliau nampaknya nekad tidak mahu melepaskan jawatan Menteri Besar.

Pendirian di kalangan pemimpin dan ahli PAS di seluruh negara adalah 50/50.

Walaupun diakui Azizan lemah dalam pentadbiran kerana masalah kesihatan dan tidak efisyen dalam pelbagai isu termasuk isu lima pelajar Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) di gantung; pemimpin dan ahli PAS berpendapat masa dan ketika Phahrolrazi memberontak adalah tidak sesuai.

Ini memandangkan semboyan PRU akan dibunyikan pada bila-bila masa sahaja. Mereka berpendapat kalau inginkan perubahan pun biarlah selepas PRU ke-13.

Tetapi seorang ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata kemelut di Kedah boleh dielakkan seandainya PAS pusat melakukan rombakan kepimpinan di Kedah sejurus selepas muktamar PAS berakhir pada Jun 2011.

“Masalah kesihatan Azizan bukan perkara baru. Sepatutnya Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru dilantik selepas muktamar PAS dan ini akan memberikan laluan yang mudah agar jawatan Menteri Besar juga diisi dengan calon baru.

“Andai berlaku rasa tidak puas hati oleh Azizan pada ketika itu sekali pun ia akan menjadi sejuk kerana tempoh untuk PRU ke-13 agak lama jika rombakan itu dilakukan pada ketika itu,” kata pemimpin tersebut.

PAS harus berani melakukan perubahan

Isu pokoknya di sini PAS harus berani melakukan perubahan dan pembaharuan dan tidak boleh mengamalkan pendekatan menyembunyikan sesuatu isu atau masalah atas alasan akan diketahui umum dan boleh menjejaskan imej parti.

Barangkali kerana mahu menjaga imej parti yang dianggap terbersih dalam Pakatan Rakyat berbanding PKR dan DAP maka PAS dilihat begitu liat untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sama ada dari konteks disiplin atau pun rombakan kepimpinan di sesebuah negeri.

Selepas kemenangan besar PAS, PKR dan DAP dalam PRU ke-12, imej PKR terjejas teruk apabila beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bertanding atas kerusi PKR melompat menjadi wakil rakyat bebas tetapi pro- Barisan Nasional (BN).

Imej DAP juga tercalar dek kerenah dua Adun parti tersebut juga melompat menjadi Adun bebas di Perak. Insiden lompat melompat membabitkan wakil rakyat PKR dan DAP ini secara tidak langsung memberikan imej yang amat positif dan meyakinkan pengundi pro-BN.

Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak, di sana sini pemerhati politik berkata hanya wakil rakyat PAS sahaja yang benar-benar setia kepada perjuangan parti masing-masing apabila terbukti tidak ada seorang pun dari PAS yang melompat selepas PRU ke-12.

Sungguhpun begitu, ini tidak bermakna tidak ada masalah dalaman PAS atau tidak ada wakil rakyat PAS yang menimbulkan suasana tidak harmoni selepas PRU ke-12.

Gagal bertindak terhadap Hasan sejak 2008

Contoh paling klasik ialah apabila bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali sering menimbulkan kontroversi dan memberikan kenyataan yang mengkritik kerajaan negeri. Hasan sering kali mengeluarkan kenyataan dan mengambil pendirian yang tidak selari dengan pendirian kerajaan negeri.

Walaupun beliau mempunyai peluang untuk mengutarakan rasa tidak puas hati beliau dalam mesyuarat Exco sebaliknya beliau menggunakan media untuk melahirkan rasa tidak puas hati tersebut terhadap sesuatu polisi kerajaan negeri.

Walaupun ada desakan agar tindakan atau paling tidak teguran di buat ke atas Hasan agar tindakan Hasan tidak menjadi beban kepada Pakatan Rakyat tetapi Kepimpinan PAS Pusat tidak mengambil sebarang tindakan drastik terhadap Hasan.

Perkara ini berterusan sehingga pada tahun lepas apabila Hasan mengeluarkan satu lagi kenyataan kontroversi mempertikaikan konsep Negara Berkebajikan oleh PAS.

FMT difahamkan dalam PAS Selangor sendiri terutama di Dun Gombak Setia yang mana Hasan adalah Adun kawasan tersebut, telah berlaku angin perubahan di kalangan kepimpinan kawasan, cawangan dan ahli yang inginkan Hasan diganti dengan calon yang lebih berwibawa.

Cetus kontroversi

Mereka kurang senang dengan tindakan Hasan yang sering mencetuskan kontroversi dalam acuan Umno yang dilihat amat tidak menguntungkan Pakatan Rakyat di Selangor.

Prestasi Hasan juga dikatakan tidaklah begitu cemerlang di Gombak Setia walaupun beliau mempunyai kelebihan sebagai Exco berbanding Adun lain.

Maka tidak hairanlah jika Hasan tidak dicalonkan oleh mana-mana cawangan PAS di Dun Gombak Setia sebagai calon pada PRU ke-13 nanti.

Jika “track record” beliau cemerlang di Dun beliau sendiri, sudah tentu beliau mendapat pencalonan yang banyak untuk terus mewakili PAS pada PRU ke-13 nanti. Tetapi keadaan ini tidak berlaku dan ini membuktikan bahawa beliau telah ditolak oleh ahli PAS sendiri di Dun Gombak Setia.

Kepimpinan PAS Pusat sudah semestinya menyedari permasalahan ini yang melibatkan Hasan sejak Mac 2008 lagi malangnya PAS pusat gagal menangani permalahan tersebut dan membiarkan ia berlarutan.

Jawatan Exco yang dipegang oleh Hasan “carry weight” apabila beliau menyatakan apa jua pendapat dan kritikan terhadap kerajaan negeri mahu pun kepimpinan PAS pusat sendiri. Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, semestinya Hasan sendiri menyedari perkara ini.

Kepimpinan PAS pusat mempunyai peluang keemasan untuk menggugurkan Hasan sebagai Exco pada Jun 2011 selepas muktamar PAS pusat berlangsung. Selepas muktamar PAS tersebut, Adun Meru, Dr Abdul Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

Peluang terbaik

Sepatutnya situasi ini menjadi peluang terbaik untuk PAS menggugurkan Hasan dan menggantikan dengan Dr Rani atau Adun PAS yang lain sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

Jika rombakan tersebut dilakukan segera selepas muktamar PAS, tidak ada ruang untuk Hasan mahu pun Umno untuk menuduh kononnya PAS menindas seorang yang dilabelkan sebagai pejuang Islam oleh media arus perdana.

Jika Hasan digugurkan sebagai Exco pada ketika itu, orang ramai akan berpendapat itu hanyalah rombakan politik yang biasa kerana Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru bukan Hasan lagi.

Namun PAS gagal mengambil kesempatan itu dan terus mengekalkan Hasan sebagai Exco. Jika Hasan diganti dengan Adun PAS lain sebagai Exco pada bulan Jun tahun lepas, ada kemungkinan portfolio Agama Islam, Adat Istiadat Melayu dan Infrastruktur akan terus dipegang oleh Exco PAS kerana masa untuk menyesuaikan diri dengan portfolio yang paling mencabar itu agak banyak.

Tetapi PAS pusat memilih jalan yang lebih berliku dan terdesak apabila terpaksa memecat Hasan kerana mengkritik PAS secara terbuka di dalam media. Semua ini boleh dielakkan atau boleh diminimumkan sekiranya PAS Pusat mengambil tindakan disiplin sejak 2008 lagi.

Apakah selepas ini pemimpin yang lantang akan menerima layanan yang sama? Dalam isu Hasan, PAS pusat bukan beria-ia mengambil tindakan sebaliknya tindakan tersebut lebih kepada seolah-olah Hasan yang mengalu-alukan tindakan diambil.

Ini ialah kerana walaupun selama seminggu Hasan mengkitik PAS dalam media termasuk di TV3, PAS masih seperti memberikan ruang kepada Hasan apabila PAS hanya meminta Hasan dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa agar diam dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka mengkritik PAS.

Pendirian PAS dalam isu ini amat pelik kerana PAS pusat memberikan mesej bahawa sesiapa sahaja boleh “menghentam” PAS secara terbuka dalam media tetapi kes dianggap selesai jika mereka berhenti dari mengeluarkan kritikan terbuka.

Kaedah PAS menangani masalah disiplin Hasan pada tahap permulaan dan Nasharuddin akan menjadi “precedent” pada masa akan datang dan ada kemungkinan Phahrolrazi menggunakan “advantage” tersebut.

Tiada sebab untuk PAS mengenakan tindakan disiplin terhadap Phahrolrazi kerana membawa isu dalaman PAS Kedah dalam media.

Seperti Nasharuddin, Phahrolrazi juga berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengkritik atau membuka pekung masalah dalaman PAS Kedah.

Maka jika kes Nasharuddin dijadikan rujukan, pada masa akan datang jika ada pemimpin PAS mengkritik kepimpinan PAS pusat, mereka boleh berbuat demikian tetapi selepas seminggu puas mengkritik, mereka cuma perlu senyap dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang berunsur negatif terhadap PAS.

Mengapa PAS berdiam diri?

Dalam isu krisis Azizan dengan Phahrolrazi dan Hasan, Umno dan media pro-Umno menuduh Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menguasai PAS dan merupakan dalang kepada krisis Kedah dan pemecatan Hasan. Malah Hasan dalam sidang akhbar di kediaman beliau beberapa hari selepas beliau dipecat, berkata beliau dipecat oleh PAS kerana Anwar.

Tetapi sehingga ke hari ini Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mahu pun kepimpinan tertinggi PAS pusat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menafikan tuduhan ini.

Sikap berdiam diri PAS yang tidak mahu menjelaskan kepada umum punca Hasan dipecat dan krisis Kedah akan mengiayakan dakwaan Umno dan media pro-Umno bahawa semua masalah dalaman di dalam PAS adalah berpunca daripada Anwar yang menurut media pro- Umno, Anwar telah menguasai sebahagian pemimpin PAS yang dipanggil Anwaris.

Pemimpin ‘double standard’

Satu lagi elemen yang PAS harus berani melakukan perubahan ialah sikap segelintir pemimpin PAS yang nampak ‘double standard’. Dua contoh paling nyata ialah sikap Ketua Dewan Ulama’ PAS, Dato’ Harun Taib dan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan At Tantawi.

Dalam isu Hasan yang sering mengkritik kerajaan negeri Selangor dahulu yang selalunya bercanggah dengan pendirian Exco DAP, Harun dan Nasrudin merupakan antara mereka yang sering menyatakan sokongan kepada Hasan.

Bagaimanapun dalam isu Hasan melanggar disiplin parti dan menyerang parti secara terbuka, Harun dan Nasrudin menikus dan tidak mengecam tindakan Hasan walaupun Nasrudin ada mengeluarkan satu kenyataan yang bukan mengkritik Hasan tetapi tidak menyokong kenyataan Hasan.

Wala’ keterlaluan


FMT cuba mendapatkan pandangan daripada seorang dua kepimpinan PAS pusat berhubung semua permasalahan yang ditimbulkan di atas.

Bagaimanapun berbanding PKR dan DAP, bukan mudah untuk kepimpinan PAS pusat mengeluarkan sesuatu kenyataan berbentuk kritikan atau membuka pekung parti.

Pun begitu seorang pemimpin senior PAS mengaku bahawa perubahan drastik sukar dilakukan kerana sebahagian besar kepimpinan negeri yang turut memegang jawatan di dalam PAS pusat, kawasan dan ahli PAS sendiri mengamalkan prinsip wala’ (taat setia kepada pemimpin).

“Walaupun menyedari ada pemimpin PAS pusat yang seakan-akan seperti pro-Umno atau seperti kurang mesra dengan PKR dan DAP dalam konsep Pakatan Rakyat dan kurang senang dengan pendirian pemimpin seperti itu, tetapi kepimpinan negeri tidaklah sampai ke tahap memprotes untuk menggugurkan pemimpin dalam kategori tersebut.

Apabila ditanya ada dakwaan dari beberapa pihak terutama blogger pro-PAS yang majoriti kepimpinan dan ahli PAS mengamalkan prinsip wala’ keterlaluan sehingga tidak nampak perkara yang tidak betul di depan mata dan masih terus menyokong pemimpin seperti itu; pemimpin senior PAS tersebut mengaku prinsip wala’ memang wujud di dalam PAS.

Tetapi untuk mengatakan wala’ keterlaluan atau tidak, itu persepsi masing-masing. Beliau juga berkata krisis dalaman adalah perkara biasa di dalam mana-mana parti dan tidak perlu diperbesarkan.

Ditanya adakah disebabkan wala’ ada kepimpinan PAS negeri masih gagal menilai dan terus menyokong seseorang pemimpin PAS secara membuta tuli walaupun terdapat unsur-unsur yang tidak kena berlaku di depan mata apabila pemimpin PAS tertentu mendapat liputan positif dan ruang yang luas di dalam media milik Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3; pemimpin tersebut memberikan respon seperti berikut:

“Saya tidak mahu membuat spekulasi. Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan masing-masing termasuk pemimpin negeri dan ahli-ahli. Cuma saya boleh nasihatkan, berfikirlah secara bijak dan logik Fikirlah diluar kotak pemikiran.

“Sudah tentu saya mempunyai persepsi saya sendiri terhadap pemimpin seperti ini tetapi saya tidak boleh kongsi dengan anda. Minta maaf,” kata pemimpin tersebut.

Tiada ulasan: