Rabu, 14 Mac 2012

NGO harap Pakatan Rakyat ambil kira reformasi kesihatan

FREE MALAYSIA TODAY

"Kita sudah serik dengan kegagalan yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Umno/BN yang memerintah lebih dari 50 tahun," kata Jaringan Profesional Muslim.



PETALING JAYA: Sebuah NGO iaitu Jaringan Profesional Muslim menyarankan Pakatan Rakyat mengambil kira reformasi kesihatan secara serius dalam pilihan raya umum ke 13.

NGO itu mencadangkan Pakatan Rakyat mempertimbangkan beberapa perkara dalam manisfesto.

1. Mengurangkan jurang perbezaan antara sektor swasta dan kerajaan dan mewujudkan perhubungan dua hala yang sihat antara sektor swasta dan kerajaan.

2. Memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan kesihatan secara optimum dengan kos minima samada melalui sektor swasta atau kerajaan. Satu mekanisma khas perlu diwujudkan bagi menangani masalah ini.

3. Mengelakkan berlakunya penghijrahan tenaga mahir (Brain Drain) ke sektor swasta dengan pemberian insentif-insentif tertentu.

4. Mewujudkan mekanisma khusus bagi mempercepatkan tarikh temujanji pakar untuk kes-kes yang serius.

5. Rakyat diberi hak mendapatkan kaedah perawatan yang terbaik bagi mereka.

`Sudah serik’

“Jaringan Profesional Muslim memberi sepenuh kepercayaan kepada Pakatan Rakyat dalam menentukan nasib masa depan kesihatan ke arah yang lebih cemerlang.

“Kita sudah serik dengan kegagalan yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Umno/BN yang memerintah lebih dari 50 tahun.

“Ini berpunca daripada budaya tidak sihat yang berlegar dalam Kerajaan Umno/BN, di mana mereka sudah hilang keupayaan mentadbir-urus dengan baik, tidak mampu menunjukkan contoh yang terpuji dalam pembahagian projek, pembaziran kewangan , rasuah bermaharajalela serta pelbagai kudis lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan media itu disediakan oleh Dr Wan Shah Jihan Wan Din, Sulaiman Ahklakan dan Dr Ghazali Hasbullah.

Menurut NGO itu, negara memerlukan pembaharuan ini kerana situasi semasa dan ketidak seimbangan masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

Sistem kesihatan yang ada sekarang memperlihatkan bahawa golongan miskin akan terus tersisih daripada mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang optimum.
Manakala golongan kaya terus bebas memilih kaedah yang terbaik dan tercanggih kerana kedudukan sosio-ekonomi mereka yang stabil.

`Bayar minima, kualiti minima’

“Sistem yang sedia ada sekarang adalah rentetan dari sistem yang diamalkan sejak sebelum merdeka. Sistem ini tidak mengutamakan kebajikan kesihatan kepada rakyat awam.

“Rakyat miskin akan mendapat rawatan kesihatan dari hospital/klinik kerajaan kerana pembayaran yang minima, namun kualitinya juga minima kerana ubat yang digunakan kebanyakannya adalah ubat-ubatan generik dan pesakit pula terpaksa menunggu lama.

“Tarikh temujanji pula biasanya berbulan-bulan dan suasana klinik juga tidak ceria. Situasi ini dibebankan lagi dengan perpindahan tenaga pakar dari sektor kerajaan ke sektor swasta.

“Golongan berpendapatan rendah sukar untuk mendapatkan rawatan pakar di sektor swasta kerana kedudukan sosio-ekonomi mereka yang menghalangnya. Lantas mereka pasrah dengan apa yang ada,” tambah kenyatan tersebut.

Jaringan Profesional Muslim itu juga mendakwa rakyat keliru dengan skim 1Care yang dikatakan akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Katanya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai mengatakan ia ditangguhkan tetapi kemudiannya menegaskan Kementerian Kesihatan akan meneruskan sesi penerangan mengenai 1Care kepada masyarakat.

Katanya, jika sekiranya perlaksanaan 1Care ditangguhkan, kenapa perlu pihak Kementerian Kesihatan membuat penerangan?

“Biasanya sesi penerangan perlu dibuat apabila sesuatu perkara telah siap dan hendak dilaksanakan. Pertemuan dengan masyarakat adalah untuk mendapatkan pandangan orang ramai sahaja dan menambahbaik sesuatu program yang hendak diaplikasikan.

“Adalah agak ganjil bila di satu sisi Menteri Kesihatan mengumumkan tangguh, tetapi di satu sisi lagi sibuk pula memberi penerangan tentang pelaksanaan 1care,” tambah NGO itu lagi.

Tiada ulasan: