Rabu, 14 Mac 2012

Kes Curi Pasir Terbesar Di Selangor

Post Pic

ANTARA POS.COM


RAWANG : Meskipun kerajaan negeri sering menafikannya, kes curi pasir di Selangor semakin memburuk dengan pendedahan terbaru membabitkan kawasan seluas tiga padang bola di Bukit Beruntung.

Pejabat Tanah Hulu Selangor menyifatkan operasi haram itu yang terbesar di kesan setakat ini.

Operasi itu dijalankan berhampiran sebuah sekolah di Bukit Beruntung sejak enam bulan lalu, akhbar The Star melaporkan.

Ia terbongkar hasil serbuan oleh Pejabat Tanah Hulu Selangor minggu lalu, bagaimanapun dalang dan pekerja terbabit berjaya melarikan diri.

Beberapa jentera penggorek dan sebuah lori yang ditinggalkan di tapak berkenaan dirampas.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sudah memulakan siasatan kes terbaru curi pasir di Selangor ini.

Kerajaan Selangor menubuhkan syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk menguruskan industri pasir di negeri itu namun kegiatan curi pasir dilaporkan semakin meningkat manakala kerajaan negeri gagal mencapai sasaran hasil daripada sektor berkenaan.

Penguatkuasaan untuk membanteras jenayah itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tiada ulasan: