Jumaat, 16 Mac 2012

Kerajaan BN masih pinggirkan pembangunan masyakarat India

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan Barisan Nasional menyediakan peluang kerja kepada kaum India yang layak serta mampu bekerja telah menjadi punca gejala buruk sosial di kalangan masyarakat tersebut.

Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran berkata, peratusan kaum Indian yang ingin bekerja tetapi tidak diberi peluang amat tinggi manakala jumlah mereka yang tercicir dari sekolah serta tidak dibuka peluang belajar di universiti juga ramai.

Katanya, kadar bunuh diri, pertambahan jumlah ibu tunggal dan peningkatan orang India dalam kes-kes jenayah turut berleluasa.

“Apakah sebab-sebab ini berlaku? Itu menjadi tanda tanya. (Ini) adalah kegagalan kerajaan untuk memberi peluang-peluang yang tertentu kepada (kaum India),” katanya sewaktu perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin.

Beliau mengingatkan kerajaan BN bahawa ia telah mengumumkan untuk meuwjudkan satu jawatankuasa cabinet Special Implementation Task Force (SITF) mengenai masyarakat India tetapi tidak jelas statusnya.

Beliau mahu kerajaan menjelaskan mengenai:

* Siapa yang mengkoordinasi semua projek dalam SITF?

* Setakat ini apakah kejayaan mereka dan apakah aspirasi masyarakat India yang telah dicapai setakat ini?

* Bagi tahun hadapan dan seterusnya, apakah rancangan-rancangan yang sedia ada?

“Ini kerana kalau kita tengok pada tahun 2000, kerajaan telah mengumumkan ekuiti India akan dinaikkan dari 1.2% ke 3% sebelum tahun 2010. Itu matlamat tahun 2010.

“Bila datang tahun 2010, ia ditukar kepada tahun 2020. Sampai sekarang hanya 1.2% sahaja dan masalah ini masih berlaku. Tidak ada cara atau apa-apa yang dibuat oleh kerajaan untuk menolong mereka mengatasi masalah ini,” ujatnya.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, pada tahun 1971, 17% masyarakat India bekerja dalam perkhidmatan awam tetapi hari ini peratusannya tidak sampai 5%.

“Ada dua orang Menteri (dari kalangan kaum India), apa guna? Tidak ada apa-apa keuntungan kepada masyarakat,” tambah beliau.

Menurutnya, atas kesedaran masalah itu, DAP telah mencadangkan supaya diadakan debat perdana dengan Presiden MIC Senator Datuk G. Palanivel dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Namun, beliau kesal kerana mereka menolaknya atas alasan debat itu tidak akan menyelesaikan masalah.

“Kalau betul-betul mereka berani, mereka ada asas, fakta dan perangkaan. Kenapa mereka enggan? Ini menunjukkan bahawa mereka takut kerana mereka tahu ini semua adalah retorik.

“Apa yang dibuat oleh SITF, sasaran ekuiti untuk menolong masyarakat miskin tegar? Semuanya tidak sampai kepada golongan sasar tapi hanya mengkayakan yang sudah kaya,” ujarnya.

Beliau menambah, ia menunjukkan bahawa BN tidak ada polisi rasional yang betul dan boleh memanfaatkan masyarakat India.

Kula Segaran juga membangkitkan soal diskriminasi bantuan kepada pelajar sekolah di mana sewaktu tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan membelanjakan RM33.50 sebulan bagi seorang murid sekolah kebangsaan tetapi untuk sekolah Tamil, hanya RM10.55 sebulan dan sekolah Cina RM4.50 sebulan sahaja.

“Kenapakah ada diskriminasi sedemikian? Bukankah anak-anak yang belajar di sekolah kebangsaan, sekolah Tamil dan sekolah Cina ini adalah rakyat Malaysia?” soal beliau.

Beliau juga mahu kerajaan BN menjelaskan mengenai masalah yang sama di bawah Rancangan Malaysia ke-10:

* Berapakah anggaran yang akan dibelanjakan dan berapakah yang telah dibelanjakan untuk setiap anak-anak kita di sekolah kebangsaan, sekolah Tamil dan sekolah Cina?

* Mengenai enam sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil yang akan dibina, berapa peruntukan yang akan digunakan untuk setiap sekolah-sekolah tersebut? – Roketkini.com

Tiada ulasan: