"Ini bukan untuk nak menjatuhkan kerajaan, buat ganas, bukan. Kita keluar beramai-ramai memberi tekanan kenapa lapan tuntutan kita tidak ditunaikan, atau kita bertanya bila hendak ditunaikan. Sebelum ini ditunaikan, maka kita tidak boleh adakan pilihan raya. Kalau tidak, kita menipu diri kita sendiri. Ertinya kita tahu bahawa sistem pilihan raya itu adalah tidak betul, dan kita bermain..."
Hishamuddin Rais (gambar kanan) berhenti sebentar, memberi laluan kepada sindirannya, "Saya tidak tahulah, apa hukumnya dalam agama Islam. Adakah ia bersubahat... Saya tak tahulah... Ada mengeluarkan fatwa, kalaulah kamu mengambil bahagian dalam pilihan raya yang tidak bersih ini, maka anda jugalah bersubahat... Saya tak tahu!"
Kemudian beliau meneruskan,"Ke jalan raya ini adalah untuk memperkasa... kemarahan rakyat ini akan diterjemahkan sebagai undi!"
Bosan dengan penipuan bagaimana reformasi tuntutan rakyat semuanya berada "di tengah jalan", Hishamuddin Rais mencadangkan agar satu hari untuk semua rakyat berkumpul, dinamakan "Hari Kemarahan Rakyat".
Menurutnya, semua kumpulan dengan agenda masing-masing, misalnya Himpunan Hijau, mahasiswa dengan isu pemansuhan AUKU, Gerakan Mansuhkan ISA, BERSIH dan sebagainya, turun untuk menunjukkan kemarahan. Mereka bebas untuk mengangkat kain rentang misalnya, "Saya BERSIH!", "Saya tak suka bos saya!", "Saya tak suka isteri saya!", sebelum beliau berjenaka "Saya tak suka Azmin Ali!"
Mungkin beliau serius dengan cadangannya ini, tetapi dibalas dengan ketawa oleh kira-kira 80 orang hadirin yang menghadiri forum "Analisis Arah Politik Malaysia Pasca PRU 13", selepas pelancaran buku "PRU 13, UMNO Tumpas?", tulisan Zainal Abidin Ahmad, di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Turut hadir sebagai panelis termasuklah AJK PAS Pusat Dzulkefly Ahmad dan pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari.
Minoriti menjadi suara hati kepada majoriti
Sebelum ini, Hishamuddin Rais dan Dzulkefly Ahmad mengambil pendekatan yang agak berbeza ketika mengolah hujah mereka, apabila diminta untuk meramalkan arah politik Malaysia pasca PRU 13. Dzulkefly Ahmad selaku pemimpin Pakatan Rakyat, bermula dengan "Walaupun kemenangan bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya menantikan kemenangan untuk kita laksanakan reformasi."
Mengakui bahawa dirinya tidak begitu ghairah untuk menang (I am not so keen to win), Dzulkefly sekadar menyatakan harapan untuk menyaksikan unjuran politik ke depan, yang memperkasakan sistem dua parti, sambil beliau melahirkan kekhuatiran bahawa seandainya politik kita berundur ke garis dasar (base line) tahun 2004 (keputusan PRU yang menyaksikan BN memenangi lebih 90% kerusi Dewan Rakyat), ia akan menjadi malapetaka untuk negara ini.
Hishamuddin Rais pula menganggap mustahil Pakatan Rakyat menumpaskan UMNO-Barisan Nasional dengan sistem pilihan raya yang sedia ada, namun menunjukkan jalan, bahawa turun ke jalan raya sebelum pilihan raya, adalah cara untuk memecah "kemustahilan" ini. Bagaimanapun, Hishamuddin Rais menjangkakan bahawa UMNO-BN akan kembali untuk serangan balas yang kuat, seandainya menang dalam PRU 13.
Dengan nada berjenaka, Hishamuddin Rais menggelar Dzulkefly Ahmad sebagai Etonian, dari sekolah Eton, yang bermain kriket. "Menang kalah tak apa, asalkan kita bermain." Dzulkefly mencelah, kebetulan kriket adalah sukan kegemarannya, menggelakkan satu dewan. Hishamuddin Rais mengingatkan, "(Pilihan raya umum) Ini bukan permainan kriket, tetapi rampasan kuasa."
Hishamuddin Rais tetap menganggap struktur sistem yang sedia ada bakal dikerah untuk menumpaskan PR, malah membuat ramalan dan amaran bahawa kroni UMNO yang menguasai bekalan air dan pungutan tong sampah boleh mensabotaj untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.
Dzulkefly Ahmad (gambar kiri) bagaimanapun mempertahankan pendekatan dirinya, memetik Khalifah Umar al Khattab, "Saya bukan perompak, tetapi perompak tidak dapat mengatasi saya." Dzukefly meluahkan kebimbangannya melihat bagaimana peralihan 10% sokongan kepada Najib Razak selepas Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 diagihkan. Malah, Najib kini sanggup merendahkan dirinya untuk memohon maaf kepada rakyat. Ia menimbulkan kekhuatiran Dzulkefly, bahawa bahasa "pahlawan jalan raya" (street fighter) mungkin tidak sesuai di semua tempat, dan PR memerlukan pendekatan strategi berbeza untuk menjangkau kelompok yang berlainan.
Hishamuddin Rais bagaimanapun, berkata revolusi sesebuah negara tidak berlaku di semua tempat, maka jangan simpan ilusi bahawa Malaysia memerlukan demonstrasi di Jelebu, semua kampung pedalaman untuk membolehkan perubahan berlaku. Itu bukan pemikiran strategi, katanya, sambil memberi contoh bagaimana revolusi di negara lain hanya tertumpu di beberapa kawasan, dan kemudian menyaksikan perubahan di seluruh negara.
Hishamuddin Rais mengisahkan pengalaman dirinya ketika bekerja di BBC. Beliau selalu tanya kepada ketua pengarah, kenapa demonstrasi di Quartier Latin Paris, di Hyde Park London yang dihadiri 40 ribu orang tidak dilaporkan, sebaliknya dilaporkan demonstrasi empat orang di Red Square Moscow?
"Jawapannya cukup logik, ketika zaman perang dingin, Russia sebuah negara yang repressive, berbanding kota Paris atau kota London." Hishamuddin Rais bersambung, "Walaupun lima ribu orang, lima ribu orang itu adalah suara hati (conscience) of the majoriti. Mereka itu adalah empat orang muda Moscow yang berdiri di musim sejuk untuk membantah..."
Baca: Dzulkefly Ahmad: Dasar bersama Pakatan Rakyat tidak buat PAS kurang Islamik
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan