Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggesa rakyat supaya tidak memberi “tempoh lanjutan” kepada pembangkang untuk terus memerintah Selangor sebenarnya ditujukan buat partinya sendiri. Ini kerana pembangkang di Selangor ketika ini adalah UMNO-BN manakala kerajaannya adalah Pakatan Rakyat.
Beliau juga seperti menyindir partinya sendiri dengan kenyataan bahawa ‘pelbagai janji tidak tertunai’ semasa dalam pemerintahan Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Mungkin Datuk Seri Najib tidak menyedari bahawa rakyat Selangor pada hari ini menikmati pelbagai ‘janji yang tertunai’ oleh kerajaan Pakatan Rakyat seperti yang dimaksudkan itu. Selepas menang empat tahun yang lalu, janji-janji Pakatan Rakyat satu demi satu ditunaikan. Antaranya air percuma sebanyak 20 meter padu yang diberikan kepada setiap rakyat di negeri itu. Selain itu, dengan perkhidmatan berbentuk kebajikan seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk warga emas, skim tuisyen percuma, Tabung Warisan Anak Selangor atau TAWAS, Jom Shopping dan lain-lain lagi.
Sebaliknya UMNO yang memerintah berpuluh tahun lamanya ‘pelbagai janji tidak ditunaikan untuk rakyat’. Ini menyebabkan beliau menggelepar dan seakan menyalahkan pimpinan bawahannya. Bahkan, bekas Menteri Besar Selangor sendiri telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan rasuah. Bagaimana mereka boleh membela rakyat di negeri paling maju itu, sekiranya pemimpin nombor satu negeri tersebut sendiri dihukumkan kesalahan dengan rasuah. Rakyat menganggap jika memberi ‘tempoh lanjutan’ kepada UMNO-BN lagi, mungkin lebih ramai pemimpin UMNO-BN akan disabitkan dengan kesalahan rasuah serta kesalahan-kesalahan lainnya.
PM juga dalam kenyataannya mengakui melakukan kesilapan ketika memerintah Selangor dahulu dan merasa insaf serta memohon maaf kepada rakyat Selangor. Bagi DPPM, sekiranya PM sudah insaf sepatutnya beliau tidak berebut untuk mendapatkan Selangor kembali dan menyerah dengan membiarkan Pakatan Rakyat memerintah buat penggal kedua. Ini kerana UMNO sudah memerintah Selangor selama berpuluh tahun dan sudah tentu ‘dosa’ beliau dan partinya bukan mengambil masa yang sedikit untuk dibersihkan. Mereka yang ‘bertaubat nasuha’ biasanya berazam untuk tidak mengulangi dosanya. Justeru PM perlu mengelak partinya dari sebarang cita-cita menduduki kerajaan Selangor bagi mengelak dosa yang lama dilakukan kembali.
Sepatutnya PM bersyukur kerana dengan kekalahan partinya dalam PRU ke 13 dapat ‘menginsafkan ‘ beliau. Sebaiknya, keinsafan beliau perlu diterjemahkan pada kerajaan negara ini yang berada di bawah tanggungannya, dengan membersihkan kabinet serta kerajaannya dari pelbagai skandal dan penyelewengan kuasa. Jika tidak beliau hanya dianggap hipokrit dan rakyat tidak sekali-kali akan memberikan peluang kedua kepada beliau dan partinya lagi.
***Tulisan adalah kenyataan media RIDUAN MOHD NOR Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Rabu, 7 Mac 2012
Kalau Nak Tawan Selangor, Umno Bersihkan Kabinet Dulu!
Editor Buletin
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan