Ahad, 11 Mac 2012

Himpunan 10,000 wanita tuntut kerajaan bersih

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat akan bersama-sama badan NGO akan menganjurkan 'Himpunan 10,000 Wanita' bagi menuntut beberapa perkara daripada kerajaan.

Bertemakan 'menuntut kerajaan yang bersih', himpunan yang dijadual pada 18 Mac ini itu akan diadakan di Padang Astaka 1 Seksyen 14 Petaling Jaya, Selangor bermula jam 2 hingga 5 petang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

"Wanita melihat hari ini, antara krisis utama negara adalah kerajaan tidak bersih dan tidak adil.

"Sebagai simbol menuntut kerajaan yang bersih, kita akan pakai sarung tangan putih pada hari himpunan tersebut," katanya.

Menurutnya lagi, himpunan inisiatif NGO Gabungan Suara Wanita Untuk Perubahan itu akan menuntut enam perkara seperti berikut:

- Kerajaan yang bebas dari rasuah dan penyelewengan.

- Akta gaji minima, bukan dasar gaji minima.

- Kualiti hidup rakyat yang lebih baik.

- Hapuskan keganasan terhadap wanita.

- Membatalkan Akta Perhimpunan Aman.

- Pilihan raya bebas dan adil.

"Yang mana kita tahu tiga kali ganda wang hasil pendapatan negara telah tiris akibat rasuah dan penyelewangan," tambah Aiman.

Menurutnya lagi, perhimpunan wanita yang julung kali diadakan itu dibuat sempena sambutan hari wanita antarabangsa tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh wanita perihatin agar hadir bersama-sama pada hari perhimpunan tersebut.

Tiada ulasan: