KUALA LUMPUR – Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri berkuatkuasa April depan disifatkan sebagai keputusan separuh rela memandangkan beliau masih belum bersedia melepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sekiranya Shahrizat ingin meletakkan jawatan, beliau seharusnya melepaskan kesemua kedudukan yang disandang termasuk di dalam parti.
Menurutnya, tindakan Shahrizat itu seolah-olah menunjukkan bahawa beliau masih belum bersedia untuk melepaskan jawatan yang disandang sekarang.
“Dia (Shahrizat) nak letak jawatan sebagai menteri, tetapi tidak mahu lepaskan jawatan dalam parti.
Ini adalah keputusan separuh rela dan tiada kesungguhan. Kalau tak bersalah, kenapa nak lepaskan jawatan?
Dengan meletakkan jawatan, ia membuktikan salah laku yang telah dibuat. Shahrizat perlu melepaskan kedua-dua jawatannya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menyarankan Shahrizat supaya mendengar nasihat Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee supaya segera melepaskan kedua-dua jawatannya dan tidak bermain tarik tali terhadap keputusan yang dibuat.
“Saya rasa eloklah Shahrizat mendengar nasihat Syed Ali iaitu ahli Umno sendiri.
Kenyataan saya ini hanyalah sebuah pandangan yang mewakili DAP,” katanya.
Selepas kontoversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat semalam mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).
Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.
Berhubung jawatan sebagai ketua Wanita Umno, beliau berkata, keputusan mengekalkan jawatan itu dibuat setelah berfikir panjang kerana Wanita Umno sudah seperti keluarga baginya.
Sementara itu, Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee menganggap kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu ‘drama’.
Syed Ali berkata, sebagai seorang menteri, Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan