Sabtu, 10 Mac 2012

Erykah: The Star enggan jumpa Pemuda PAS

Muhammad Faizal,


GOMBAK:
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memberitahu pihaknya telah menerima jawapan daripada akhbar The Star berhubung pertemuan bagi membincangkan isu Erykah Badu yang diterbitkan oleh akhbar berkenaan.

Ketuanya, Nasruddin Hassan memberitahu Harakahdaily jawapan tersebut diterima melalui faks semalam.

"Mengenai cadangan pertemuan DPPM dengan Ketua Pengarang dan Pengarang akhbar The Star seperti mana yang kita putuskan pada 5 Mac yang lalu, pihak DPPM telah menerima maklum balas mengatakan mereka tidak bersedia untuk bertemu.

"Pihak akhbar The Star tidak menyatakan lebih terperinci kenapa mereka enggan menerima pelawaan tersebut dan mereka hanya mengatakan belum bersedia, jawapan kita perolehi semalam melalui faks," jelasnya.

Nasruddin turut menyatakan cadangan pertemuan dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad belum mendapat kata putus sehingga sekarang.

"Manakala pertemuan dengan Tun Mahathir kita belum menerima jawapan lagi kerana kita dimaklumkan bahawa beliau berada di luar negara.

"Walaupun cadangan pertemuan itu pada 12 Mac tetapi pihak DPPM bersedia jika Tun Mahathir mempunyai cadangan untuk meminda pada tarikh lain termasuk juga bentuk pertemuan tersebut," sambungnya lagi.

Pada 5 Mac lepas DPPM telah mengutuskan surat kepada akhbar The Star dan Mahathir bagi membincangkan isu-isu yang menjadi kontroversi di negara ini.

Perbincangan dengan The Star mengenai kemasukan penyanyi antarabangsa Erykah Badu yang telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam kerana terdapat tatu perkataan 'Allah' di dadanya.

Tun Mahathir pula terhadap hukum hudud yang mana sebelum ini beliau mengatakan hudud tidak ada di dalam Al-Quran.

Tiada ulasan: