Jumaat, 23 Mac 2012

Debat: Anwar, Raja Petra sudah bersedia, Najib bila lagi?


Oleh: Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR : Bloger kontroversi Raja Petra Kamaruddin menyatakan kesediaan menyertai debat yang dianjurkan Wikileaks.

Bercakap dalam blog Malaysia Today beliau hanya mahu berdebat dengan Anwar dan Najib berkaitan isu-isu Islam.

“Jika saya bersetuju untuk berdebat dengan Anwar dan Najib dan memilih Islam sebagai subjek untuk dibahaskan adakah kedua-dua personaliti ini bersetuju untuk berdebat?” katanya dipetik dalam blog beliau.

Raja Petra berkata, beliau memilih untuk berdebat mengenai Islam kerana Umno selama ini mendakwa mereka adalah parti yang kuat memperjuangkan Islam.

Subjek itu juga ada kaitan dengan pengalamannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan menghina Islam.

“Islam boleh dihina? Oleh itu, anda boleh ditahan tanpa bicara untuk menghina Islam? Apakah Islam? Adakah tafsiran Umno dan Pakatan Rakyat tentang Islam betul atau cerita dongeng semata-mata?” katanya.

Semalam Anwar dilaporkan sedia berdebat dengan Raja Petra dan Najib yang akan dianjurkan Wikileaks.

Assange menghubungi Anwar melalui twitter untuk menganjurkan debat antara mereka bertiga yang akan dihoskan oleh Assange sendiri.

Sebelum ini Anwar diwawancara Assange dalam Forum di Kent, England bagi membincangkan senario politik global.

Selepas Anwar bersetuju dengan wawancara itu, beliau diberitahu blogger Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara itu.

Anwar kemudiaanya menyatakan persetujuan untuk permintaan asal iaitu wawancara antara beliau dengan Assange sahaja.

Tiada ulasan: