Ahad, 11 Mac 2012

Anwar Tak Campur Urusan Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Kata Saifuddin

Oleh Nur Atiqah Abd Samad

Post Pic


SHAH ALAM : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah melibatkan pengaruhnya dan campur tangan isu kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh baru-baru ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mendakwa desas-desus yang menyatakan Anwar cuba menjatuhkan Azizan sebagi satu tuduhan politik yang jahat dan bertujuan untuk mengeruhkan hubungan baik antara kedua-dua parti yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat.

Menurutnya lagi, tuduhan rambang yang dibuat sesetengah pihak yang menyatakan Ketua Umum PKR mahu menggulingkan Pesuruhjaya Pas Kedah sekaligus memecah-belahkan perpaduan di antara PKR dan Pas sebaliknya mengkukuhkan lagi hubungan antara kedua parti terbabit.
"Itu satu tuduhan politik paling jahat saya dengar yang datang daripada musuh politik Pakatan Rakyat yang tidak mengenali hubungan akrab antara Azizan dan Anwar....Pakatan Rakyat akan menjadi semakin kuat bila kita berjaya melepasi ujian ini," katanya lagi.

Saifuddin turut melahirkan keyakinannya kemelut di Kedah tidak pernah sesekali menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PR sebaliknya mendakwa isu terbabit mengukuhkan lagi perpaduan ahli di dalam PR.

Dalam pada itu, beliau berkata Anwar dan beberapa pimpinan kanan PKR telah bertemu Azizan di kediaman rasminya di Alor Setar, pada Jumaat lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi yang melanda pentadbiran negeri itu baru-baru ini.

Saifuddin, yang juga ahli parlimen machang berkata, menteri besar itu menyebut secara umum mengenai kemelut yang berlaku antara dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh.

"Kedua-duanya membincangkan mengenai perkembangan politik Kedah dan kedua-duanya saling bertukar pandangan mengenai perkara kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Pertemuan berlangsung secara baik dan kondusif."

Antarapos.com turut difahamkan pertemuan itu juga berlangsung bagi menziarahi Azizan yang baru keluar daripada hospital dan berbincang mengenai keadaan kesihatannya yang semakin pulih.

Tiada ulasan: