Isnin, 6 Mac 2017

Zam label Nazri pengecut, ‘pondan Padang Rengas’

Berita Daily Staff

Zainuddin yang masih ahli Umno turut berkata bahawa sekiranya Dr Mahathir yang kini merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhasrat bertanding di Langkawi, maka ia merupakan kemuncak semangat rakyat

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Zainuddin Maidin membidas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz setelah beliau menolak cabaran bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum yang ke-14.

Zainuddin yang masih ahli Umno turut berkata bahawa sekiranya Dr Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhasrat bertanding di Langkawi, maka ia merupakan kemuncak semangat rakyat.

“Menteri Nazri Aziz sanggup lawan Dr Mahathir hanya di kawasan sendiri. Masih muda pun pengecut nak keluar kampung untuk lawan orang tua nyanyuk,” kata Zainuddin, menulis di tweet.

Beliau turut menyelar Nazri sebagai “Pondan Padang Rengas” apabila hanya akan bertanding di halaman sendiri iaitu Padang Rengas.

Nazri merupakan Ahli Parlimen Chendaroh, Perak pada tahun 1995 dan 1999, sebelum beralih ke Parlimen Padang Rengas yang dimenangi sejak tahun 2004 hingga ke 2013.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam turut mengkritik kenyataan Nazri yang berkata beliau tidak boleh bertanding di Langkawi kerana sistem pengagihan kerusi Umno tidak membenarkannya meninggalkan Padang Rengas.

“Dr Mahathir sepatutnya lebih tahu. Beliau adalah presiden BN selama bertahun-tahun dan saya tidak perlu mengajarnya. Beliau tahu bagaimana sistem ini berfungsi,” katanya yang dilapor FMT.

Perbalahan Nazri dengan Dr Mahathir kembali memuncak selepas Nazri mencabar beliau dan juga Presiden PPBM Muhyiddin Yassin supaya bertanding di Padang Rengas.

Bagaimanapun, Dr Mahathir membalas cabaran tersebut dengan meminta Nazri bertanding di Langkawi kerana beliau merupakan menteri untuk seluruh negara bukan hanya untuk Padang Rengas sahaja.

Dalam pada itu, Zam turut menyambut baik spekulasi kemungkinan Dr Mahathir bakal bertanding pada PRU14.

“Jika benar bahawa Dr Mahathir akan bertanding, ini sahaja sudah memuncakkan semangat rakyat untuk jatuhkan (Perdana Menteri) Najib (Razak) tanpa sabar,” katanya.

Tiada ulasan: