Khamis, 9 Mac 2017

Rundingan PAS-PPBM sukar berjaya selagi Muhyiddin-Mahathir lain pendapat

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
SHAH ALAM: Meskipun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa hubungan partinya dan PAS semakin baik, itu bukan jaminan ianya akan berjaya.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata,  hubungan PAS-PPBM sukar untuk berjaya selagi Muhyiddin dan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir, terus bercanggah pandangan berhubung isu yang sama. 
 
"Dalam tindakan Muhyiddin dan pendekatan Dr Mahathir terhadap PAS, memperlihatkan kesukaran untuk mencari persefahaman atau membentuk satu blok utama dalam pembangkang, iaitu memasukkan PAS dalam PH," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Reaksi itu menyusul selepas Muhyiddin, pada semalam memberitahu PPBM mendapat jemputan daripada PAS untuk mengadakan rundingan berkenaan agihan kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Menyifatkan ia sebagai satu kemajuan, beliau juga menambah hubungan di antara dua parti itu semakin baik apabila PAS sering menjemput PPBM ke setiap programnya.
 
Muhyiddin dan Dr Mahathir sering dilapor media sebagai kerap bercanggah pandangan terhadap PAS.
 
Dr Mahathir sering mengkritik dan mengugut PAS supaya segera memilih sama ada menjalinkan hubungan dengan Umno BN ataupun pembangkang.
 
Sementara Muhyiddin terus dengan diplomasinya, memujuk PAS bekerjasama dengan PPBM.
 
Shamsul yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata PAS kini 'jual mahal' kerana sedar, semua pati ingin berdampingan dengan mereka.
 
"Semua ada niat nak ambil PAS sebagai rakan kongsi mereka. Jika BN berjaya membentuk persefahaman dengan PAS kemungkinan kelebihan besar kepada mereka. Jika PH berjaya mewujudkan persefahaman dengan PAS, maka ia pun mempunyai kelebihan. Maka PAS dah jadi seperti anak emas, atau rebutan untuk situasi politik terkini negara. Jadi PAS boleh jual mahal.
 
"PAS bermain tarik tali dengan semua parti komponen, termasuk BN apabila Himpunan 355 mendapat sokongan daripada Umno. Kemudian terdapat beberapa pertemuan yang menunjukkan PAS juga seperti ada kecenderungan kepada PPBM," katanya lagi.
 
PAS sebelum ini bertegas enggan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.
 
 

Tiada ulasan: