Peguam pengerusi Bersih 2.0 itu berhujah tiada
ketetapan dalam Akta Imigresen atau Akta Pasport memperuntukkan menteri
dan/atau KP Jabatan Imigresen melarang perjalanan warganegara Malaysia.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 27 April bagi keputusan permohonan semakan kehakiman difailkan aktivis Maria Chin Abdullah untuk mencabar keputusan ketua pengarah imigresen melarangnya melakukan perjalanan ke luar negara.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Gurdial Singh Nijar yang mewakili Maria dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bagi pihak ketua pengarah (KP) Jabatan Imigresen dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.
Gurdial dalam hujahannya berkata tidak terdapat ketetapan dalam Akta Imigresen atau Akta Pasport yang memperuntukkan kuasa menteri dan/atau KP Jabatan Imigresen untuk menguatkuasakan larangan perjalanan ke atas warganegara Malaysia.
“Sehubungan itu, kami berhujah kedua-dua responden tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Imigresen atau Akta Pasport untuk menguatkuasakan larangan perjalanan dan dengan itu bertindak secara ultra vires,” kata peguam itu.
Shamsul pula dalam hujahnya berkata mahkamah patut menolak permohonan itu atas alasan perkara itu menjadi akademik.
Maria, yang juga pengerusi jawatankuasa pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), pada 28 Julai tahun lepas memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk membatalkan perintah dikeluarkan KP imigresen dan pengisytiharan responden tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu dan dengan itu telah bertindak di luar bidang kuasa.
Dalam permohonan itu, Maria berkata beliau dimaklumkan berhubung larangan melakukan perjalanan itu sejurus sebelum beliau menaiki penerbangan ke Korea Selatan pada 15 Mei, 2016 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Beliau mendakwa pihak berkuasa gagal mempertimbangkan beliau mahu ke Korea Selatan untuk menghadiri persidangan hak asasi manusia dan menerima anugerah bagi Bersih 2.0.
Pada 25 Oktober 2016 Maria memperoleh kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan KP imigresen melarangnya melakukan perjalanan ke luar negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan