Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) tidak hanya mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang
terlibat dengan isu rasuah atau penyelewengan, sebaliknya tindakan yang
sama patut dilakukan terhadap tokoh politik.
Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad berkata, wujud kekhuatiran sekiranya
penangkapan terhadap penjawat awam itu hanyalah sebagai 'kambing hitam'
bagi melindungi tokoh tertentu.
"Keduanya saya lihat juga bagaimana Baginda menekankan juga soal rasuah
yang kita anggap sudah sampai kepada barah dalam negara kita hari ini,
bukan saja melibatkan kakitangan awam.
"Malahan ia juga perlu diberi penekanan terutama di kalangan pemimpin
negara kerana kita pun rasa bimbang juga kerana apa yang berlaku ini
kadang-kadang yang jadi kambing hitam ialah kalangan pegawai kerajaan
semata-mata.
"Dan kita harapkan supaya benda ini bukan saja pihak SPRM yang berani
dan selama ini terbukti terhadap penangkapan di kalangan jerung besar
yang terlibat dalam perkhidmatan awam, dan diharapkan selepas ini ada
(penangkapan) juga melibatkan tokoh penjawat dalam politik, di kalangan
yang ada kuasa," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Dewan Rakyat.
Terdahulu, Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V melahirkan rasa
dukacita baginda ekoran kegiatan penyelewengan, ketirisan dan rasuah
masih lagi berlaku di kalangan penjawat mahupun bekas penjawat awam.
Dalam titahnya sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima sidang Parlimen
Ketiga Belas hari ini, Seri Paduka bertitah, sekalipun ia dilakukan
oleh segelintir, namun ia menghakis kepercayaan rakyat.
Dalam pada itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang
mengharapkan agar Rang Undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah
atau Akta 355 dapat dibentangkan pada sidang kali ini.
"Begitu juga dalam soal memperkasakan mahkamah syariah yang saya
rasakan merupakan perkara yang pernah disebut YDPA sebelum ini, dan kita
harapkan supaya perkara ini juga dapat difahami sama ada Ahli Parlimen
Islam dan bukan Islam, ia membabitkan soal orang Islam.
"ita harapkan dapat dibentang.. kita harapkan pihak kerajaan ada
inisiatif, ada keberanian untuk membenarkan RUU ini dibentang kali ini,"
katanya.
Usul RUU355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini telah melalui dua kali
penangguhan.
Hadi ketika membentangkan RUU355 itu pada November tahun lalu memohon
menangguhkan usul berkenaan ke sidang kali ini, ekoran masih ramai di
kalangan ahli parlimen yang tidak memahami bersabit langkah partinya
itu.
Kelibat Hadi bagaimanapun tidak kelihatan pada hari pertama sidang kali
ini, difahamkan ekoran keadaan dirinya yang tidak sihat.
"Dia tak hadir, di tidak berapa sihat. Mungkin esok dia hadir," kata Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan