Menteri Dalam Negeri, Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya berdiam diri dengan tindakan 19 individu berkenaan memandangkan tindakan melampau mereka menggugat keamanan negara
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia (IQ) menggesa kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap 19 individu yang mengambil tindakan mahkamah terhadap penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik.
Setiausaha Agung IQ, Abu Haffiz Salleh Huddin berkata, kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya berdiam diri dengan tindakan 19 individu berkenaan memandangkan tindakan melampau mereka menggugat keamanan negara.
“Ia menggambarkan sebuah tindakan ekstrem dengan menyerang aktiviti dakwah dan peribadi Dr Zakir Naik di Malaysia sedangkan beliau adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul halim Mu’adzam Shah dan merupakan anugerah tertinggi negara dalam hal ehwal agama Islam di Malaysia.
“IQ ingin menegaskan tindakan saman 19 individu termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) P Waythamoorthy dan beberapa Muslim lain terhadap kerajaan Malaysia kerana melindungi Zakir Naik adalah sebagai satu tindakan yang sangat melampau dan usaha menggugat keharmonian negara,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
IQ Malaysia turut menegaskan Kerajaan Malaysia juga dilihat gagal menangani kumpulan tersebut walaupun tindak tanduk mereka sangat berbahaya dan melibatkan cubaan menimbulkan ketegangan agama di Malaysia.
“Kebebasan bersuara yang selalu dilaungkan oleh kumpulan ini seakan-akan laungan palsu apabila mereka tampil memulakan saman terhadap Kerajaan Malaysia kononnya tidak mengambil tindakan terhadap Zakir Naik,” katanya.
Kenyataan itu turut dikongsi oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin di laman Facebook miliknya.
Sebelum ini, sekumpulan aktivis memfailkan tuntutan mahkamah menuntut satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah kontroversi Zakir.
Mereka juga memohon satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, sekiranya diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia.
Kumpulan berkenaan memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan