Oleh Abdul Rahman Hashim
Hari ini (Jumaat, 23 Mac 2012) Dato' Sri Najib menemui delegasi Wanita UMNO dari seluruh negara di PWTC setelah beliau bertemu dengan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia jumaat lepas. Dato' Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita UMNO yang akan melepaskan jawatan Menterinya pada 9 April ini telah mengetuai pertemuan tersebut tanpa kehadiran Dato' Kamilia Ibrahim yang difahamkan berada di luar negara.
Menurut kata Dato' Raja Ropiah Raja Abdullah, Exco Wanita UMNO yang turut berada di dalam pertemuan itu menyatakan bahawa Dato' Sri Najib meminta semua anggota Wanita UMNO supaya memberikan sokongan kepada Dato' Seri Shahrizat memimpin Pergerakan Wanita terutama di saat menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir.
Tanpa diduga kemelut isu Fidlot-Lembu yang belum pun reda diperkatakan sehingga membahangkan kedudukan Shahrizat isteri kepada Dato' Salleh yang kini kesnya dihadapkan ke mahkamah, tiba-tiba Naib Ketuanya sendiri Dato' Kamilia Ibrahim mendesak pula supaya Shahrizat meletakkan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO.
Menurut Dato' Kamilia, anggota Wanita UMNO di peringkat akar umbi menghadapi masalah untuk berhadapan dengan kes suaminya yang dianggap menjadi beban kepada parti di saat menghadapi PRU13.
Tan Sri Rafidah Aziz, mantan Ketua Wanita UMNO seperti yang dijangka telah bersikap menangguk di air yang keruh turut bersetuju dengan saranan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta Shahrizat supaya lebih pentingkan imej parti daripada kepentingan diri sendiri.
Ketika memberi komen selepas Shahrizat mengumumkan akan melepaskan jawatan menterinya pada tarikh luput senatorshipnya menjelang 9 April nanti, Rafidah secara sinis beranggapan bahawa Sahrizat bukanlah meletakkan jawatan tetapi sebenarnya Shahrizat dikatakan sebagai menghabiskan tempoh exipired jawatan senatornya yang tidak mengizinkan jawatan menteri yang disandangnya itu dilanjutkan tempoh.
Rafidah menyerlahkan dirinya sebagai pendendam terhadap Shahrizat yang pernah menentangnya ketika merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada tahun 2008 yang lalu. Rafidah menganggap Shahrizat telah mengkhianatinya seperti yang pernah dialami oleh Tun Ghafar Baba ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim hendak mendaki jawatan Timbalan Presiden UMNO suatu masa dahulu.
Kemelut dan pergeseran politik Wanita UMNO kini sedang meniti kemuncak yang membabitkan pucuk pimpinannya. Kamilia Ibrahim dilihat bukan keseorangan apabila mendesak Shahrizat meletakkan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Biarpun bertalu kenyataan sokongan terhadap Shahrizat dibuat oleh Ketua Wanita UMNO negeri-negeri, namun hakikatnya luka-luka lama akan berdarah kembali akibat serangan virus yang sedang melanda politik Wanita UMNO.
Apakah tindakan Kamilia ini akan mendapat sokongan Rafidah Aziz? Sama-sama kita melihat arus gelombang ini yang sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kekuatan yang sedang diperkasakan oleh UMNO/BN dalam menghadapi PRU13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan