Oleh Izmil Amri
VENEZUELA adalah sebuah negara Amerika Selatan yang terkenal dengan wanitanya yang umpama bidadari. Sudah enam kali negara itu menyandang gelaran Miss Universe. Terbaru pada 2009 melalui Stefania Fernandez, yang mengikuti langkah rakan senegara, Dayana Mendoza yang memenangi gelaran itu pada tahun sebelumnya. Saya sudah ‘google’ keduanya; memang cantik.
Venezuela adalah satu daripada tiga negara yang lahir daripada keruntuhan Gran Colombia pada 1830. Ia juga pernah dijajah Sepanyol pada 1522 sebelum diisytihar merdeka pada 1811, namun tidak merdeka sepenuhnya sehingga 1830.
Sebuah negara persekutuan republik, ia memunyai 23 negeri dalam kawasan seluas hampir satu juta kilometer persegi dengan jumlah penduduk dianggarkan 29 juta yang bertumpu ke kawasan bandar, menjadikannya antara negara Amerika Latin paling ‘urban’, dengan 96% daripadanya beragama Kristian Katolik.
Sekitar abad ke-20, negara itu menemui simpanan minyak terbesar di seluruh dunia dan menjadi negara pengeksport minyak paling utama. Sebelum itu Venezuela sekadar mengaut kekayaan daripada hasil pertanian termasuk kopi dan koko.
Kini 95% daripada hasil eksportnya adalah bergantung kepada hasil minyak; yang menyumbang kepada 40% hasil kerajaan, dan 12% daripada KDNK negara berkenaan.
Sebenarnya kalau dibelek dengan cermat, kita akan dapati bahawa sosio-ekonomi Venezuela tak ada banyak beza dengan Malaysia. Populasinya juga hampir sama. Cuma mungkin gadis Malaysia belum ada yang jadi Miss Universe. Dan sewaktu Venezuela sudah Merdeka, Semenanjung Tanah Melayu mungkin sedang galak menerima kemasukan orang putih dengan tangan terbuka.
Selain itu juga, Venezuela barangkali sedikit bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin bernama Hugo Chavez.
Chavez
Hugo Rafael Chavez Frias adalah presiden Venezuela sejak 1999 yang mempunyai ideologi politiknya sendiri yang dipanggilnya Bolivarianisme dan ‘Sosialisme untuk abad ke-21′. Ada juga yang berpendapat ideologi politik Chavez ini ada sedikit-sebanyak persamaan dengan prinsip demokrasi sosial Parti Tindakan Demokratik (DAP) khususnya di segi memberi keutamaan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Sosialisme Bolivarian adalah berdasarkan solidariti dan persaudaraan, kasih sayang, keadilan, kebebasan dan kesaksamaan. Ini bererti kebijakan yang dibawa Chavez adalah kebijakan yang manusiawi dan tidak berpaksikan kepada kepentingan kaum pemodal semata-mata, bahkan memberikan kelebihan kepada masyarakat awam.
Bagi Chavez, inilah dia kebijakan yang sedikit kontra dengan sosialisme konvensional memandangkan sosialisme yang diamalkan di negara-negara soviet zaman Perang Dingin dahulu adalah langsung tidak demokratik dan menghadkan penyertaan politik daripada rakyat serta menjadikan struktur pemerintahan sangat autoritarian.
Pendekatan manusiawi Chavez ini diterjemahkan hatta ke Eropah apabila ia berjanji untuk membekalkan minyak murah kepada masyarakat kelas pertengahan-rendah di sana. Sehinggakan Datuk Bandar London, Ken Livingstone, menyifatkan beliau sebagai perkara terbaik dari Amerika Latin setelah bertahun lamanya.
Akar polisi Chavez memberi penekanan, antara lain kepada aspek kepentingan pendidikan, keadilan sosial serta integrasi Amerika Latin. Malah turut memberi penekanan kepada demokrasi yang mengundang penyertaan masyarakat akar umbi dalam membuat sebarang keputusan.
Lebih menarik lagi apabila sang presiden Katolik yang dahulunya menjadi ‘budak altar’ di gereja ini secara senang hati bersahabat dengan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad sebagai penentang imperialisme Amerika Syarikat.
Presiden sosialis beragama Kristian ini semalam bersuara mengecam serangan regim Zionis terhadap penduduk Islam di Gaza, yang disifatkannya pencerobohan ganas dan buas terhadap rakyat Palestin. Chavez adalah antara pemimpin yang paling lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin malah mendesak penyertaan Palestin ke dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Venezuela juga memutuskan pertalian dengan Israel sejak 2009.
Palestin
Malam 1 Muharram 1434 Hijrah, tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza yang membunuh komander tentera Hamas, Ahmad Jabari. Dua pusat latihan Hamas menjadi sasaran dalam siri pengeboman itu yang menyusul sejurus sahaja Jabari dibunuh.
Ahmad Jabari adalah ketua kepada briged Izzuddin al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas. Selain beliau, yang turut menjadi korban serangan tentera Israel adalah beberapa orang kanak-kanak, yang di saat rencana ini ditulis, bilangannya kian bertambah, berkadaran dengan pergerakan tentera Israel menakluki Gaza dengan operasi daratnya.
Kemelut Israel-Palestin telah berlanjutan untuk puluhan tahun. Malah ada yang akan mengira sejak Perang Salib lagi. Peta wilayah kedua-dua negara itu kian lama kian menunjukkan perbezaan. Negara Israel semakin luas kawasannya, manakala Palestin pula semakin mengecil. Dan Gaza hanyalah secebis kawasan di pinggiran, menghampiri Mesir.
Israel barangkali menguji komitmen Obama yang baru beberapa hari lalu dipilih semula menjadi Presiden Amerika. Dan nyata Obama dan negaranya tidak banyak kompromi dalam menyatakan sokongan terhadap sekutu dan teman paling akrabnya, Israel.
Agak menyedihkan apabila tiada campur tangan ketenteraan daripada jiran terdekat termasuk Mesir yang kini ditadbir parti yang dipengaruhi Ikhwanul Muslimin apabila Palestin terus dibantai seakan merelakan pembersihan etnik di negara itu. Dunia Arab kekal bungkam dan sekadar mengeluarkan kecaman tanpa sebarang tindakan yang memperlihatkan kekuatan politik. Adalah satu atau dua kenyataan politik yang dibuat, namun masih tiada tindakan susulan.
Kesan terhadap Malaysia
Palestin sebagai tempat letaknya Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati rakyat Malaysia. Maka pergolakan di Palestin secara langsung memberi kesan kepada sentimen rakyat Malaysia yang peduli dengan sengsara yang ditanggung saudara seagama.
Apa yang tidak membantu pula ialah fitnah tanpa henti daripada sesetengah pihak yang mengaitkan pimpinan Pakatan Rakyat dengan Israel, malah mendakwa pula bahawa Pakatan Rakyat adalah agen Israel dan kemudian menuding jari kepada Pakatan apabila Palestin diserang bertubi-tubi. Kononnya ‘agen Israel’ dalam Pakatan Rakyat tidak pun memberi kecaman keras terhadap serangan itu.
Ini pastilah dusta politik belaka yang hanya akan ditelan mentah oleh mereka yang merelakan diri terus dibodohkan.
Prinsip demokrasi sosial meski pada dasarnya sekular, adalah sangat manusiawi dan meletakkan hak asasi manusia serta solidariti sesama insan di maqam yang amat tinggi. Maka tidak hairan bagaimana Hugo Chavez Presiden Venezuela pun turut membela nasib rakyat Palestin. Mana mungkin bakal pemimpin Malaysia dari kalangan Pakatan Rakyat tidak cakna dan bersimpati dengan nasib rakyat Palestin di kala sentimen rakyat begitu kuat.
Namun sikap pimpinan UMNO dalam hal Palestin jelas memperlihatkan betapa hipokritnya puak ini, yang sentiasa menggunakan apa sahaja isu yang boleh demi menyelamatkan dirinya. Sambil cuba kelihatan suci murni sebagai pembela umat Islam Palestin, ia cuba melupakan dosanya sendiri yang mengakibatkan kematian umat Islam dalam tragedi Memali, 27 tahun lalu; yang sehingga hari ini tidak pernah dibawa ke muka pengadilan.
Apa yang kita dapat hanyalah propaganda Barisan Nasional yang akan terus mencuba untuk menutup sifat Zionisnya dalam tragedi pembantaian orang kampung di pinggir Baling, Kedah itu. Ibrahim Libya sendiri dikhabarkan menerima berpuluh das tembakan di dada, tidak ia membelakangi para penyerangnya walau selangkah. Apa pula kata para pemimpin UMNO? Keluarga mangsa Memali adakah dibela parti Melayu ini di kala ia terkinja-kinja berlagak Islamik di tengah kemelut Palestin-Israel?
Umat Melayu harus berfikir mengenainya sebelum membuat keputusan pada pilihan raya nanti. Moga jangan sampai Venezuela negeri “kafir” hidup makmur, Malaysia negara umat Islam pula diperintah “regim” Melayu. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan