DETIK DAILY |
Utusan Malaysia masih jahil tentang hukuman hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Melalui artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk "Polemik Hukum Hudud PAS" menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam memberikan penjelasan berkenaan hudud.
Dalam artikel tersebut telah mempersoalkan bagaimana terdapat dua versi Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu,
kita ingin menegaskan bahawa pengarang tersebut telah hilang fokus
dalam perbincangannya, perbezaan versi ini adalah termasuk dalam bab
teknikal dan bukannya isu pokok.
Apa yang kita bahaskan sekarang ialah berkenaan dengan pokok iaitu memberikan penjelasan berkenaan keindahan hukum hudud dan Utusan tidak memainkan peranan ini selaku akhbar milik orang Islam.
Fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis tersebut juga cukup
mengelirukan para pembaca, sedangkan apa yang diusahakan oleh Kerajaan
PAS Kelantan dan Terengganu berdasarkan pandangan para ulamak yang
muktabar yang diiktiraf keilmuan mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi
ianya merupakan hudud yang berdasarkan disiplin ilmu Islam yang
berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah.
Adapun berkenaan dengan dakwaan bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS
Kelantan seperti mana yang dilaporkan dalaman artikel itu, Hukum Hudud
yang diperjuangkan PAS tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah
dakwaan yang tidak benar dan menyeleweng.
Berkenaan
isu liwat dan umur aqil baligh dalam enakmen tersebut, ianya telahpun
dijawab Dewan Ulamak sebelum ini tetapi sebagai manfaat bersama, ulamak
tidak keberatan mengulanginya.
Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Mohd Kamal
Saidin yang mempertikaikan umur bagi mukallaf adalah 15 tahun dan
bukannya 18 tahun menggambarkan beliau jahil tentang perbahasan para
ulmak.
Berkenaan dakwaan had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak,
masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya
adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.
Sebagai contoh, kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan
diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa anak guaman
bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.
Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau
helah dalam perbicaraan di samping ianya merupakan petunjuk kepada
tahap baligh dan kematangan atau dikenali sebagai 'sinnu rusyd', itu
hanya sebahagian sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih
ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah.
Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli
parlimen yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang
dikemukakan PAS, adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang yang
membangkitkan isu ini.
Liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi
bukan bererti perbuatan itu tidak salah. Perbuatan itu tetap salah,
cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman tetap ia
akan dikenakan hukum takzir.
Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.
Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti
diambil kira dalam pelaksanaan ialah pelaksanaan hukuman hudud mesti
meraikan satu kaedah yang penting iaitu yudra’ul hudud bi syubhat iaitu
hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.
Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah
hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah
syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak
sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan - pasangan
yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut
syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri.
Pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus
menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan
hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal
fikiran manusia yang lemah.
Sebelum
ini Dewan Ulamak telah memberikan penjelasan berkenaan perkara
tersebut secara rasmi. Dakwaan yang menyatakan Ulamak PAS gagal
memberikan penjelasan berkenaan dakwaan ahli parlimen tersebut adalah
dakwaan yang tidak benar sama sekali.
Isu hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam manakala
orang bukan Islam diberikan pilihan, Enakmen Kelantan dan Terengganu
jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan
orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan
beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili
dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut
undang-undang mereka.
Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran daripada surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: "Apabila
mereka(orang yang bukan Islam) datang kepada kamu untuk diadili,
hendaklah kamu adili mereka (dengan Islam) atau biarkan mereka (untuk
membuat pilihan), sekiranya mereka enggan ianya tidak memudaratkan kamu,
apabila kamu mengadili manusia hendaklah kamu berlaku adil
seadil-adilnya."
Ianya jelas berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah
SAW, apabila orang bukan Islam khususnya Yahudi yang datang bertemu
Rasulullah untuk menyelesaikan kes mereka yang berkaitan hudud, lalu
Allah SWT memberikan pilihan kepada nabi sama ada mengadili dengan hukum
Islam atau sekiranya mereka enggan mereka boleh menyelesaikan
pertikaian itu berdasarkan undang-undang mereka sesama di kalangan
mereka.
Ini nas al-Quran. Al-Quran memberitahu sekiranya kamu mengadili mereka
hendaklah berlaku seadil-adilnya. Mazhab Syafie menyatakan adil di sini
ialah hukum Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan