Jumaat, 23 November 2012

SUA TG Nik Aziz sahut debat Minda Pondok

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli Shaari menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran debat Minda Pondok bagi menjernihkan tuduhan yang dilemparkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cabaran itu, katanya khusus bagi memperbetulkan tuduhan terhadap Tuan Guru khususnya dalam isu doa dan dakwaan memurtadkan Umno.

"Saya dengan rendah hati menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran Minda Pondok yang saya kira perlu untuk dilaksanakan.

"Dalam hal ini saya kira samada Minda Pondok boleh merangka program ini ataupun diserahkan kepada mana-mana pihak ketiga untuk menjadi urusetia," katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap Minda Pondok boleh menerima cadangan ini sekiranya benar-benar mereka ikhlas untuk menjernihkan suasana.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli berkata, dalam isu debat perlulah sekurang-kurangnya panelis yang terlibat dilihat sama kedudukan sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

"Selaku Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, adalah tidak munasabah untuk meletakkan Minda Pondok sepentas dengan Tuan Guru dalam apa jua tajuk sekalipun," katanya.

Namun, beliau turut memuji Minda Pondok yang dilihat lebih berani daripada Perdana Menteri dalam hal ini.

Ini kerana katanya, cabaran debat ini agak kontra dengan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan melayan cabaran debat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas alasan bahawa debat bukan budaya rakyat negara ini.

Beliau memberi respons demikian ekoran cabaran debat oleh satu pertubuhan bukan kerajaan yang menamakan diri mereka sebagai Minda Pondok seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Minda Pondok dilaporkan mencabar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat berdebat dalam isu doa dan dakwaan bahawa UMNO murtad

Tiada ulasan: