Sabtu, 3 November 2012

Pojok Katanya…-roketkini.com



Fitnah terhadap DAP tidak pernah reda sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu.

Tuduhan bahawa ideologi DAP menyamai komunis, gaya politik dikatakan Cauvinis Cina, matlamat parti yang kononnya ingin menubuhkan negara Kristian, pendekatan politik yang dikatakan menindas kaum Melayu dan mengutamakan kaum Cina, mahu mansuh Bahasa Kebangsaan dan anti Islam, masih berterusan.

Bagaimana dalam sebuah negara yang dikatakan sistemnya demokratik, terbuka, berbilang bangsa dan parti yang secara teknikalnya berasaskan pelbagai kaum, boleh digambarkan sebegini rupa oleh lawannya?

Tindakan itu kerana UMNO/BN berniat mahu memesongkan prinsip perjuangan DAP daripada diketahui umum. Entiti bernama United Malays National Organization ini tidak mampu berdepan dengan bahasa prinsip untuk berbahas mengenai dasar dan matlamat perjuangan, kerana prinsip perjuangan mereka jelas menyimpang daripada matlamat perjuangan muluk parti mereka.

Berbanding DAP, prinsipnya memanglah tidak sehebat mana, tetapi prinsip ini teruji dengan pelaksanaan kata-kata kempen perjuangan menerusi reputasinya baik sebagai pembangkang dan juga kerajaan (Pulau Pinang 2008).

Baru-baru ini, sekali lagi serangan hebat dilakukan MCA. Apa dan sebanyak mana tujuannya tidaklah kita pedulikan tetapi yang pasti, mereka mahu membunuh kefahaman rakyat Malaysia mengenai prinsip dan pendirian DAP atas beberapa isu yang menjadi polemik politik  di Malaysia sejak sekian lama iaitu hudud dan negara Islam.

Pada hakikatnya, bukan hanya DAP tidak bersetuju dengan idea hudud dan negara Islam ini, tetapi lebih jelas lagi UMNO, MCA, MIC hatta parti komponen BN yang lain juga tidak bersetuju dengan idea ini. Namun, hanya DAP yang digambarkan sebagai ‘hantu’ dan terus dikecam dan diheret ke dalam gelumang politik gelap UMNO BN.

Penyataan prinsip DAP dalam isu hudud dan negara Islam sudah jelas, iaitu menolak. Namun demikian, penolakan ini adalah berlandaskan pendekatan politik bukan menolak hudud sebagai hukum dalam Islam. Perbezaan besar ini bukan sahaja perlu difahami rakyat, malah termasuk ahli DAP sendiri.

Kita mengakui kewujudan kanun jenayah syariah (hudud) dalam Islam, tinggal lagi dalam isu pelaksanaan hudud dalam negara, yang mana kadar kemiskinan dan jurang ekonomi yang masih melebar luas, malah budaya rasuah (korupsi) begitu bermaharajalela dan ianya perlu diberi fokus dan keutamaan oleh DAP dan rakan PR yang lain.

Malah secara prinsip juga, kita tidak akan menyerang UMNO atau MCA hanya kerana mereka berlainan parti sebaliknya kita melawan UMNO atau MCA dan lain-lain kerana merekalah yang membenihkan budaya korupsi hingga tidak malu menggunakan hujah agama untuk menjustifikasikan kebobrokan mereka.

Malah, dengan bahasa retorik yang sangat puitis dan demokratis memesong ayat dan makna menjadi sesuatu yang berlainan daripada sifat asal, contohnya – rasuah, dalam UMNO disebut ‘komisen’. Tiba-tiba jadi ‘legal’. Pelik tetapi benar.

Rasuah ini anai-anai, ia bukan taufan Sandy yang datang melanda sekelip mata, tetapi rasuah merosakkan anak bangsa hingga ke beberapa generasi.

Apabila prinsip DAP diuji lagi dan lagi, kita akan menjadi lebih kuat, fokus dan yakin bahawa matlamat perjuangan ini betul. Inilah hikmah apabila terus difitnah, memetik kata-kata Abraham Lincoln – kamu boleh menipu sesetengah orang sepanjang masa, dan semua orang beberapa kali, tetapi anda tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa.

Masanya sudah tiba untuk kita maju ke hadapan.-roketkini.com

Tiada ulasan: