Rabu, 14 November 2012

Persatuan Ulama S'gr kesal SIS sokong murtad

ANTARA POS.COM
Post Pic

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Selangor hari ini menyatakan rasa kesal berhubung tindakan NGO Sisters in Islam (SIS) yang murtad secara tidak langsung, serta menggesa pihak berkuasa agama mengadakan pertemuan dengan pertubuhan tersebut bagi membendung fahaman pluralisme dan kebebasan beragama daripada merebak.
 
Setiausaha PUM, Mohd Khairunnizam Mohd Supian menegaskan, walaupun SIS telah “menafikan menyokong murtad, namun kenyataan mereka tentang kebebasan keluar masuk agama Islam tidak boleh diterima atas alasan apa pun kerana hukum yang digunapakai di Malaysia jelas mengenainya.”
 
“Perlu diingatkan, kebebasan beragama telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan erti kata penganut agama bukan Islam berhak menjalani amalan dan ibadah mereka tanpa diganggu dan mengganggu orang lain, manakala umat Islam sebagai penduduk asal dan majoriti negara ini berhak untuk mengamalkan ajarannya termasuklah dalam hal menyekat penukaran agama yang dilarang dalam agama Islam secara qat’ie,” jelas Khairunnizam dalam kenyataan tersebut.
 
Khairunnizam turut menegaskan, setiap kenyataan berkaitan agama perlu dirujuk kepada pihak yang berkenaan terutamanya para ulama muktabar dan pihak berkuasa agama.
 
“Walaupun secara umumnya sebagai umat Islam mereka berhak untuk berbicara tentang agama mereka secara asasnya, namun dalam perkara yang melibatkan perbahasan hukum yang mendalam, pihak ulama dan cendekiawan Islam merupakan pihak yang lebih berautoriti untuk dirujuk manakala pihak berkuasa berhak menguat kuasakan mana-mana pandangan ulama muktabar yang sesuai dengan realiti tempat dan masa berdasarkan kaedah,” jelas kenyataan itu lagi.
 
“PUM memandang berat kenyataan NGO tersebut yang bertentangan dengan kehendak ajaran Islam dan menggesa pihak berkuasa agama berbuat sesuatu dengan mengadakan pertemuan dengan mereka seterusnya tindakan lain yang perlu bagi membendung kefahaman yang salah seperti liberalisme, pluralisme dan inklusivisme daripada merebak.”
 
PUM turut menggesa isu berkaitan agama itu juga tidak dipolitikkan kerana ia boleh menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
 
SIS sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa, kebebasan beragama mestilah termasuk untuk menukar agama, kata badan bukan kerajaan yang memperjuangkan wanita Muslim berikutan dakwaan kenyataan Nurul Izzah Anwar sebelum ini yang dikatakan menyokong kebebasan beragama termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu, Islam di negara ini.
 
SIS turut mempersoalkan, bagaimana Muslim menuntut kebebasan, yang mahu menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk memasuki agama itu tetapi dalam masa sama tidak membenarkan penganutnya keluar dari agama tersebut.
 
“Kepercayaan berdasarkan paksaan akan jadi hipokrit,” menurut SIS dalam kenyataan medianya.
 
Pengarah program SIS, Suri Kempe menerangkan bahawa NGO tersebut tidak menggalakkan umat Islam untuk murtad, sebaliknya memperjuangkan kebebasan meninggalkan agama bagi mereka yang tidak lagi mempercayainya.
 
“Islam bukanlah agama jalan sehala,” kata Suri.
 
Kenyataan Nurul Izzah, yang juga merupakan naib presiden PKR dalam forum berkenaan dengan isu negara Islam di Subang Jaya minggu lalu telah menyebabkan beliau diserang oleh pemimpin agama dan pemimpin Umno dengan mengatakan beliau menggalakkan murtad.
 
Nurul Izzah telah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjelaskan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan ke atas akhbar yang dimiliki Umno, Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog kerana memutarbelitkan kenyataannya.
 
Murtad dan kebebasan beragama adalah isu sensitif di Malaysia, di mana Melayu — yang mewakili 60 peratus dari 28 juta penduduk — dari segi Perlembagaan adalah Muslim.
 
Sementara kebebasan untuk beragama adalah dijamin bagi bukan Muslim di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, semua orang Melayu adalah Muslim di bawah undang-undang.
 
Undang-undang Islam melarang Muslim dari keluar dari agama tersebut dan undang-undang syariah negara ini telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengenakan hukuman kepada golongan murtad.
 
Dengan mempunyai dua sistem perundangan syariah dan persekutuan, ianya sering mencetus kontroversi dalam kebebasan beragama di bawah artikel 11 apabila orang Muslim cuba untuk keluar dari agamanya.
 
Ini boleh dilihat dalam kes Lina Joy (Azalina Jailani), Revathi Massosai dan Nyonya Tahir (Wong Ah Kiu).

Tiada ulasan: