Selasa, 13 November 2012

Penyokong Pakatan ungkit kenyataan Pak Lah isu murtad


MALAYSIA KINI


 
Kumpulan penyokong Pakatan Rakyat giat mengongsi satu laporan memetik kenyataan bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi yang didakwa membenarkan orang Melayu keluar daripada Islam sekiranya golongan itu mahu berbuat demikian.

Laporan bertarikh Julai 2007 dari media Singapura itu dikesan berlegar di laman sosial dan juga blog para penyokong Pakatan Rakyat, antaranya blog Anak Sungai Derhaka dan juga laman Facebook Demi Rakyat.

Kemunculan semula laporan berkenaan dipercayai ekoran serangan keras daripada pemimpin BN ke atas Nurul Izzah Anwar, susulan satu kenyataan kontroversi naib presiden PKR itu pada 3 November lalu.

NONELaporan media Singapura yang ditonjolkan oleh penyokong Pakatan itu adalah daripada satu sidang media Abdullah di Putrajaya – di mana bekas perdana menteri itu dilaporkan bercakap dalam kapasiti peribadi.

Menurut laporan Channel News Asia itu, yang diterbitkan semula oleh akhbar Today, Abdullah didakwa menyatakan bahawa "golongan yang mahu meninggalkan Islam patut dinasihati oleh pihak berkuasa agama, dan sekiranya tetap mahu menukar agama, patut dibenarkan berbuat demikian."

"Ini bukan satu perkara yang tidak boleh dilakukan. Untuk mereka yang tidak mahu menjadi Islam lagi, apa yang anda boleh lakukan?

"Jika mereka mahu tinggalkan Islam, apa yang anda mahu lakukan. Lebih baik anda biarkan mereka (tinggalkan Islam)," kata Abdullah seperti dipetik dalam laporan tersebut.

NONEMenurut laporan itu lagi, Abdullah turut menggesa pegawai-pegawai agama agar memahami masalah dan rintihan golongan yang bercadang meninggalkan Islam.

"Saya selalu berkata kepada pegawai agama bahawa mereka perlu dengar rintihan (orang yang mahu meninggalkan Islam).

"Ada disebabkan mereka kecewa dengan perkara tertentu yang berlaku dan disebabkan itu mereka mahu meninggalkan agama Islam?," soalnya, seperti dilaporkan.

Kenyataan itu timbul ketika perhatian pada waktu itu tertumpu kepada kes berkaitan murtad, antaranya melibatkan Lina Joy, seorang yang dilahirkan Muslim tetapi memohon kepada mahkamah untuk diisytiharkan sebagai penganut Kristian.

Satu lagi melibatkan Nyonya Tahir yang meninggal dunia pada usia 89 tahun dan telah membuat perakuan bersumpah memohon dikebumikan sebagai seorang penganut Buddha.

NONEKenyataan Nurul Izzah dalam satu forum kebebasan beragama pada 3 November lalu, berhubung isu "tiada paksaan dalam beragama" mencetus kontroversi apabila dilaporkan dengan gambaran bahawa naib presiden PKR itu menggalakkan murtad di kalangan orang Melayu.

Dua hari kemudian, beliau tampil menjelaskan bahawa beliau sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad.

"Saya sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad," tegasnya yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

"Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya kesal kerana ada usaha kalangan yang cuba memutarbelitkan kenyataan saya, seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: