Ahad, 11 November 2012

Pemuda PAS cadang isytiharkan aset, tekanan kepada musuh politik


KUALA LUMPUR — Pemuda PAS mencadangkan agar anggota majlis eksekutif mengisytiharkan aset mereka pada muktamar minggu hadapan — satu langkah dilihat untuk meningkatkan kepercayaan awam terhadap mereka sekaligus memberi tekanan kepada rakan-rakan politik untuk melakukan perkara sama menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.

Dewan Pemuda PAS dilaporkan mengilhamkan idea tersebut minggu lepas - dilihat sebagai cabaran kepada parti-parti politik lain dlam usaha mereka untuk memulihkan imej yang dilihat sebelum ini sebagai hanya menentang konsert artis-artis barat kepada pemimpin Islam progresif selaras dengan isu-isu semasa.

“Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu. Pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS,” kata setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil seperti yang dilaporkan oleh lidah rasmi parti tersebut Harakah Jumaat lepas.

Khairul Faizi juga dilaporkan berkata langkah tersebut bagi menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada PRU 13 dan akan dilakukan pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dilaporkan menyokong inisiatif dewan pemuda untuk mengisytiharkan aset mereka dengan menyatakan ianya selari dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diajar oleh Islam.

“PAS sudah mengamalkan hal ini secara dalaman yang melibatkan penjawat awam seperti menteri besar dan exco. Bagus untuk perkara ini jika dibuat secara terbuka,” kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Dengan cdangan pengisytiharan aset ini, pemuda PAS akan menyertai rakan lain Pakatan Rakyat (PR) yang telah membuktikan mereka menunaikan janji.

Pada awal tahun ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli exco majlis kerajaan negeri itu mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, telah menunjukkan bahawa pengisytiharan aset adalah salah satu kunci enam “langkah-langkah integriti” yang beliau diperkenalkan dalam pentadbiran Pulau Pinang, selaras dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Ketelusan).

Kerajaan negeri Selangor yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR telah mengisytiharkan aset mereka di laman web kerajaan negeri (http://www.selangor.gov.my) lebih awal, pada Mac 2009, setahun selepas parti-parti pembangkang persekutuan membuat kejutan dalam pilihan raya umum 2008.

Cawangan tempatan pemerhati anti-rasuah global, Transparency International Malaysia (TI-M) juga mengingatkan pegawai awam tentang keperluan ketelusan oleh kerana kedudukan negara yang terus jatuh ke tangga dalam kedudukan rasuah antarabangsa.

“TI-M selama bertahun-tahun berulang kali mencadangkan untuk ketelusan dan pendedahan penuh aset pegawai awam yang dipilih, ke arah meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia dan pelabur asing terhadap integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik,” kata ketua TI-M, Datuk Paul Low pada Januari tahun ini.

“TI-M juga percaya untuk mendapatkan gambaran lebih besar, pengisytiharan harta perlu termasuk liabiliti, pinjaman dan hutang,” tambahnya.

Setiusaha Pemuda PAS juga dilaporkan berkata parti tersebut akan membariskan kira-kira 40 peratus calon golongan muda dibawah 40 tahun dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata ,inisiatif ini adalah untuk memberi lebih ruang kepada generasi baru itu bersuara dalam arena politik negara, kata beliau kepada agensi berita Bernama.

“Memang fokus (muktamar) adalah pilihan raya. Harapannya selepas muktamar, kami akan gariskan beberapa perkara dan ia akan memberi tonik baharu kepada perwakilan,” kata Khairul Faizi lagi.

Tiada ulasan: