Jumaat, 9 November 2012

PBS: Guru dilayan seperti robot, masa rehat dirampas

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) memohon agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mewujudkan tekanan kerja yang melampau di kalangan guru.

Presiden Pendidik Normala Sudirman (gambar) berkata, terlalu banyak aduan yang diterima oleh Jawatankuasa Pendidik berhubung isu PBS malah ada yang menyifatkan guru dilayan seperti 'robot' dan hak serta masa rehat mereka dirampas.

Katanya, urusan dokumentasi, kerja- kerja perkeranian serta pemprosesan markah telah menjejaskan tumpuan dan perancangan rapi guru terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, Sedangkan ia merupakan faktor penting dan penentu kejayaan pelaksanaan PBS.

"Guru terpaksa bersengkang mata dan bangun malam untuk ‘key in’ data hingga pukul 2- 3 pagi di rumah untuk mengurus sistem fail pelajar .Contohnya kalau ada 40 pelajar, maka begitulah jumlah fail yang menyebabkan guru- guru terbeban dengan ‘kerja- kerja perkeranian’.

"Ini menjejaskan tumpuan guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Bagaimana pula dengan guru yang terpaksa mengajar dua atau tiga mata pelajaran sehingga terpaksa ‘key in’ data 120 orang pelajar?"tegasnya.

Katanya, hak dan masa rehat guru serta kebajikan warga pendidik perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam pelaksanaan PBS ini supaya guru tidak dibebankan dengan urusan tugas- tugas perkeranian.

Dalam pelaksanaan PBS, katanya kelajuan internet adalah perkara paling penting dan segala masalah yang timbul berkitan akses capaian internet yang terganggu, menyebabkan urusan untuk proses dokumentasi penilaian untuk ‘key in' data tidak dapat dilakukan.

"Selagi akses capaian internet 1 Bestari Net yang menggantikan School Net di sekolah masih belum diatasi, maka tangguh dahulu PBS ini dan kaji semula pelaksanaannya," katanya ketika ditemui.

Tambahan pula soalnya, bagaimana dengan nasib 800,000 pelajar dari Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang tidak diberi kod untuk melaksanakan PBS ini?

"Apakah mereka dianggap telah terkeluar dari kerangka sisitem
pendidikan negara? Bagaimana dengan nasib mereka pada masa hadapan?Seolah- olah kerajaan meminggirkan peranan mereka yang juga merupakan warganegara Malaysia," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar guru-guru diberi kursus peningkatan secara profesional dan kursus pemantapan secara terancang supaya pelaksanaan PBS dapat berjalan dengan lancar.

Tiada ulasan: