Jumaat, 16 November 2012

PAS siap untuk PRU13 atau muktamar tahun depan?

Harakahdaily,



KOTA BHARU: Muktamar PAS ke 58 iaitu yang terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13 bakal bermula pagi ini dengan kira-kira 1,000 perwakilan dan beribu-ribu pemerhati akan memenuhi Dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan memberikan Ucapan Dasar yang bakal menentukan halatuju PAS dan seterusnya merasmikan muktamar kali ini.

Muktamar ini diadakan selepas ketiga-tiga sayap PAS iaitu Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda selesai mengadakan muktamar masing-masing.

Kira-kira 700 perwakilan yang menyertai muktamar bagi setiap dewan telah menyesaikan agenda masing-masing malam tadi dan petang semalam.

Muktamar Dewan Ulamak menjadi tumpuan media selepas menampakkan keghairahan mereka berbanding sebelum ini apabila perbahasan yang sangat hidup berlangsung.

Penegasan demi penegasan yang dibuat pemimpin dan perwakilan Dewan Ulamak menampakkan kesediaan mereka menghadapi pilihan raya umum akan datang bersama rakan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Dewan Muslimat pula mendapat pujian dari Presiden PAS, TG Abdul Hadi apabila beliau sangat bangga dengan pencapaian mereka. Ekoran itu, TG Abdul Hadi memberikan harapan lebih ramai calon muslimat akan dicalonkan kali ini.

Dewan Pemuda juga memberikan sesuatu yang membanggakan. Namun, ia sedikit ralat apabila muktamar ini merekodkan serangan dengan menumpulkan senjata sendiri apabila meluluskan usul mempertikaikan organ PAS iaitu Harakah menjelang pilihan raya ini.

Padahal ia boleh dilakukan melalui mekanisme dalaman PAS bukan melalui muktamar terbuka.

Muktamar penuh PAS ini akan berjalan selama tiga hari mulai pagi ini sehinggalah Ahad, 18 November.

Ia akan menentukan halatuju PAS selepas ini. Jika tumpuan perbincangan diberikan kepada persiapan hadapi pilihan raya, PAS akan bersedia sepenuhnya hadapi PRU -13 nanti.

Namun jika perwakilan saling menyerang sesama sendiri, ini bermakna mereka lebih mempersiapkan diri untuk menghadapi muktamar PAS tahun depan yang bakal mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya.

Malam ini akan berlangsung Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke 1V Kota Bharu yang bakal menghimpunkan semua pimpinan utama dan penyokong PAS, PKR dan DAP.

Ia perhimpunan siri kedua selepas himpunan berlangsung dengan jayanya di Senawang, Seremban Negeri Sembilan sebelum ini.

Tiada ulasan: