Ahad, 11 November 2012

PAS Selangor turut umum deklarasi harta calon PRU

Harakahdaily,

SHAH ALAM: Nampaknya cadangan Pemuda PAS untuk membuat deklarasi harta semakin mendapat sambutan di semua peringkat PAS.

Terkini, PAS Selangor turut mengumumkan bahawa akan memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Pemuda PAS yang bercadang untuk membuat deklarasi harta di kalangan exconya, walaupun tidak semuanya menjadi calon pilihanraya.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily berkata cadangan Pemuda PAS itu amat baik dan perlu disokong.

“Calon PRU-13 PAS Selangor juga akan turut serta membuat deklarasi harta untuk dinilai rakyat dan melawan Umno,” kata beliau.

Jumaat lepas, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini  walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.

"Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS," katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, semalam.

Langkah tersebut, katanya bertujuan menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mustafa berkata cadangan Pemuda PAS ini menunjukkan keprihatinan mereka untuk telus, terbuka dan bertanggungjawab sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang disarankan Islam.

Manakala, Tuan Ibrahim yang juga selaku Pesuruhjaya PAS Pahang mengumumkan bahawa calon PRU13 PAS Pahang akan turut serta membuat deklarasi harta.

“Pemimpin dan calon-calon PAS harus diketengahkan secara telus dan berwibawa untuk melawan pihak lawan yang suka berlindung. Deklarasi harta ini membuka peluang kepada rakyat untuk memilih dengan penuh jelas dan tanpa was-was calon-calon yang bakal mewakili mereka di Dun dan di parlimen,” kata Tuan Ibrahim.

Bagi Mustafa, beliau percaya cadangan Pemuda PAS akan diteliti oleh para pimpinan PAS untuk melihat mekanisme terbaik yang perlu diambil ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Tiada ulasan: