Rabu, 7 November 2012

PAS mahu menghadap Sultan perjelas kenyataan Nurul

 
Dr Dzulkefly Ahmad berkata maklumat sebenar mungkin tidak dijelaskan sepenuhnya kepada Sultan Sharafuddin oleh MAIS. 



KUALA LUMPUR: PAS tidak keberatan untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengenai hak kebebasan memilih agama.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat sebenar mungkin tidak dijelaskan sepenuhnya kepada Sultan Sharafuddin oleh Majlis Agama Islam (MAIS) menyebabkan baginda memberikan respon sedemikian.

“Saya yakin Sultan tidak mendapat kenyataan Nurul yang sebenarnya. Kalau tidak saya sendiri boleh menghadap Sultan untuk memberitahu.

“Saya cukup friendly (baik) dengan Sultan. Saya sendiri boleh membawa kenyataan sebenar kepada Sultan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata demikian ketika diminta menjawab mengenai kenyataan MAIS yang menyampaikan kekecewaan Sultan terhadap isu itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dilaporkan semalam berkata, baginda juga menolak sama sekali sebarang pandangan bahawa orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar agama Islam.

Dzulkefly berkata, beliau bersedia menjelaskan perkara yang sebenar kepada Sultan sehingga bagaimana ia boleh diputarbelitkan sehingga ditafsirkan sebagai menggalakkan murtad.

Informasi sebenar

“Saya ahli Parlimen negeri Selangor dan tentunya saya yakin atas menjaga martabat Sultan saya sendiri boleh mengangkat informasi yang sebenarnya,” katanya.

Beliau bagaimanapun,  berkata tindakannya itu bukan bermakna secara peribadi mahu mempertahankan Nurul Izzah sebaliknya ia soal hukum agama yang sengaja dipolitikkan oleh pihak berkepentingan.

“Saya yakin seperti (Datuk) Hasan Ali dan semua yang buat kenyataan mereka tidak berlaku adil untuk benar-benar tak meneliti apa yang disebutkan Nurul.

“Tak bermakna sebagai orang PAS dan Pakatan saya pertahan Nurul tetapi saya mahu suarakan apa yang benar.

“Jangan sampai kerana kepentingan politik kepartian sanggup (memutarbelitkan hukum agama)…bayangkan orang yang komited pada agama, sembahyang lima kali sehari boleh dikatakan mengajak orang keluar agama dan dia boleh percaya,” katanya.

Tiada ulasan: