Isnin, 19 November 2012

Parlimen Malaysia bahas usul isu Gaza esok

RUZY ADILA IDRIS

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat akan membahaskan usul berkaitan dengan konflik Israel-Palestin, susulan serangan udara tentera rejim Yahudi ke atas Gaza sejak Rabu lalu, esok.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usul tersebut akan dibentangkan pagi esok.

"Saya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan usul tersebut akan dibincangkan pada esok," katanya pada sidang Dewan Rakyat, pagi ini.

Pengumuman itu dibuat selepas Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengemukakan persoalan mengenai perkara itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan membentangkan usul itu hari ini bagi menggesa Dewan Rakyat mengambil ketetapan, antaranya mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.

Selain itu, usul juga bagi menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas Gaza melalui gencatan senjata.

Najib yang kini berada di Phnom Penh bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-sidang kemuncak berkaitan, berkata, beliau telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membentangkan usul tergempar itu.

Semalam, serangan udara Israel membunuh 11 rakyat Palestin - jumlah tertinggi dalam satu hari sejak Israel melancarkan serangan Rabu lalu.

Kepimpinan Palestin merayu Liga Arab mengadakan sidang kemuncak untuk membincangkan pencerobohan negara Yahudi itu.

Tekanan masyarakat antarabangsa meningkat bagi menghentikan konflik lima hari ini.

Tiada ulasan: