Isnin, 19 November 2012

Muktamar Hijrah bersama PAS menuju Putrajaya

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-58 yang diadakan di Putik, Kelantan, merupakan muktamar yang terakhir bagi mempersiapkan jentera PAS untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke 13.

Muktamar PAS bertepatan dengan sambutan tahun baru Maal Hijrah, yang jatuh pada Khamis lepas.
 
Tarikh Hijrah juga menandakan permulaan tahun dan tarikh baru bagi umat Islam. Ianya merujuk kepada sebuah perjalanan yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622 Masihi dari Makkah ke Madinah.

Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad s.a.w untuk mengembangkan Islam dengan aman. Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan di Madinah.

Hijrah juga membawa maksud pengorbanan. Ia menuntut pengorbanan dan keikhlasan yang tinggi, demi mencapai suatu cita-cita yang murni. Hjrah tidak boleh dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Maka Muktamar Tahunan PAS ke-58, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar beliau yang bertajuk 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' sebagai gagasan PAS bersama Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Presiden PAS menyampaikan mesej dan arahan yang cukup jelas kepada seluruh jentera parti, khususnya jentera penerangan yang ditunjangi Harakah serta Harakahdaily.

Intipati arahan yang disampaikan oleh Presiden PAS, dalam bahasa mudahnya, PRU sudah terlalu hampir, justeru jentera PAS harus menumpukan sepenuhnya kepada PRU.

Kerja-kerja PRU tidak harus dipandang enteng. Tugasnya amat berat dan implikasinya amat berat juga. Dalam erti kata lain, kesungguhan jentera PAS menghadapi PRU, menentukan survival PAS pada masa akan datang.

Dalam matlamat perjuangan jangka panjang, PAS yang menyatakan iltizamnya untuk menggantikan Umno, bersama Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya, tidak lagi menoleh kebelakang atau melayani gangguan jalanan yang boleh merencatkan matlamatnya.

Maka dengan itu, PAS harus memperkukuhkan jemaah, memantapkan parti, sekali gus menghentikan sebarang bentuk pertikaian dalaman yang boleh menjejaskan matlamat yang dituju.

Setiap pemimpin dan ahli harus membulatkan tekad, iaitu mulai muktamar ini, mereka mesti menjadi anggota jemaah yang berdisiplin, mematuhi arahan kepimpinan dan mengelakkan sebarang elemen yang boleh merosakkan PAS dari dalam.

Mulai tahun baru hijrah ini, mulai muktamar ini, semua kita, sama ada pemimpin mahu pun ahli, mesti menanamkam azam dan cita-cita untuk melangkah gagah bersama Pakatan Rakyat, menumbangkan Barisan Nasional pada PRU ke 13.

Kita harus bulatkan keazaman kita, untuk mengelakkan sebarang persengketaan sesama sendiri, mengelakkan persengketaan sesama rakan dalam Pakatan Rakyat, dan yang lebih penting kita menanam azam untuk memantapkan kerjasama, bagi menentang musuh yang satu.

Adalah amat malang, jika ada di kalangan kita yang tidak mematuhi arahan Presiden, amat malang lagi apabila mereka menghalakan muncung senjata ke arah sahabat dalam jemaah dan rakan-rakan politik, akibat daripada pemikiran yang sempit.

Presiden PAS dan yang terutama sekali Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, sering mempertegaskan keyakinan mereka, bahawa Tahaluf Siyasi yang dibina bersama-sama dengan Pakatan Rakyat, adalah menepati asas perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Justeru, tidak harus ada lagi suara-suara sumbang, khususnya dari dalaman parti, yang cuba untuk mempertikaikan ijtihad kepimpinan. Dan yang paling penting, seluruh pemimpin dan ahli PAS, harus mengelak daripada terjerumus ke gelanggang permainan Umno.

Pemimpin dan ahli PAS, seharusnya sudah matang dan sedar bahawa musuh sentiasa mahu merosakkan perjuangan PAS. Harus sedar bahawa musuh senantiasa mencari peluang untuk memerangkap mereka-mereka yang terkeluar dari kelompok jemaah.

Maka pada muktamar kali ini, kita bertanggungjawab untuk mematuhi arahan Presiden, iaitu kita istiqamah dan bersatu padu untuk berhijrah bersama PAS, untuk menawan Putrajaya. Takbir!

Tiada ulasan: