Jumaat, 30 November 2012

Mukhriz yakin tawan Kedah kembali


 

KL RODAY


Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali Kedah pada pilihan raya akan datang namun parti itu tidak boleh hanya bersandarkan kepada kelemahan pentadbiran PAS di negeri tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir bagaimanapun mengingatkan agar ahli parti itu tidak terlalu yakin, sebaliknya terus bekerja keras untuk memenangi hati rakyat.

“InsyaAllah kami mempunyai peluang yang baik…saya optimis.

“Tapi adalah amat penting bagi semua ahli untuk kerja sebanyak mungkin supaya rakyat dapat menilai bahawa kita merupakan pilihan terbaik untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Jumaat.

Ditanya sama ada BN mempunyai peluang cerah untuk mengambil alih semua negeri yang ditadbir pembangkang, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, masih banyak kerja perlu dilakukan bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Ia (kelemahan mereka) akan membantu kita tetapi tidak semua…kita masih perlu untuk meyakinkan rakyat apa yang kita boleh lakukan.

“Kita mempunyai rekod yang baik namun pada yang sama kita akui pernah melakukan kesilapan.

“Kita sudah belajar daripada kesilapan lama, kita tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.

Diminta mengulas sama ada beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Parlimen agar dapat berkhidmat kepada rakyat Kedah dengan lebih baik, Mukhriz berkata beliau terbuka kepada semua kemungkinan.

“Saya terbuka…keputusan di tangan Perdana Menteri.

“Saya sudah jelaskan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa saya terima apa sahaja keputusan yang dibuat,” katanya.

Tiada ulasan: