Khamis, 29 November 2012

Menteri bohong, JAS tak sokong kondo 29 tingkat

Harakahdaily,


SHAH ALAM: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berbohong apabila mendakwa projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves mendapat sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
 
Sebaliknya JAS, melalui satu kenyataan bertarikh 24 Januari 2007, jelas tidak menyokong projek yang dimajukan oleh Dolomite Industries Company Sdn Bhd itu.

Bagaimanapun pemaju projek tersebut tetap berdegil meneruskan pembangunan tanpa mengambil kira pendirian JAS, lapor Selangorku.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuada Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong dalam sidang medianya di lobi bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“JAS tidak pernah keluarkan surat sokongan seperti yang didakwa Menteri Perumahan dalam laporan Malaysiakini bertajuk “Chor: Dolomite kemuka penyelesaian kejuruteraan” 19 November 2012 lalu,” kata Elizabeth.

Elizabeth turut menunjukkan laporan JAS yang ditandatangani Pengarah JAS Negeri Selangor, Rosli Zul yang jelas tidak menyokong pembangunan tersebut memandangkan ianya boleh menimbulkan masalah tanah runtuh.

Elizabeth juga memberitahu sehingga kini, sembilan blok bangunan komersil projek itu telah disiapkan tetapi belum diduduki kerana masih belum mendapat Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

Terdahulu, Majlis Perbandaran Selanyang ketika era pentadbiran Umno-BN telah memberi kebenaran merancang kepada projek yang terletak di kira-kira 180 meter dari Kuil Mahamariamman, Batu Caves.

Bagaimanapun projek itu menerima tentangan masyarakat Hindu yang bimbang ia akan menjejaskan struktur tanah Batu Caves yang merupakan tempat ibadat mereka.

Tiada ulasan: