Analisa Anis Nazri, |
(Adun Sekincan berucap dalam perhimpunan membantah Noh)
Biarpun gendang pilihan raya umum belum dipalu, dendangannya tetap kedengaran di mana-mana, sementelah ia memang dijangka akan dipalu bila-bila masa sahaja.
Sama ada parti pemerintah, BN mahupun Pakatan Rakyat, masing-masing cuba menawarkan yang terbaik untuk para pengundi.
Di negeri-negeri Pakatan Rakyat memerintah, sudah tentu bahangnya begitu terasa, lebih-lebih lagi kepada pihak pembangkang di negeri terbabit iaitu BN.
BN kini sedang mengintai-intai peluang di Selangor yang merupakan lubuk emas kepada negara. Lebih-lebih lagi apabila melihat kejayaan Pakatan Rakyat menerajui Selangor melalui menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Lantaran itu, kerusi menteri besar Selangor memang menjadi tumpuan puak-puak di dalam BN, khususnya Umno, lebih-lebih lagi setelah bekas menteri besar yang terpalit dengan tuduhan rasuah, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dikatakan tidak mungkin dicalonkan sebagai menteri besar.
Beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti Khir Toyo. Malah, terdapat pemimpin Umno yang cuba menonjolkan diri masing-masing bagi membuktikan keupayaan mereka menerajui Selangor.
Terdapat pimpinan di peringkat pusat dan juga pimpinan peringkat negeri berminat memenuhi kerusi tersebut sekiranya BN berjaya merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Umum mengetahui, nama Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar, yang akan mengintai ruang di Dun-dun tertentu untuk tujuan tersebut.
Selain Noh, Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Rozali Ismail yang juga peneraju Syabas, turut dikatakan mengintai peluang sama dengan menjadikan Dun Sungai Panjang sebagai platform beliau.
Ternyata, Noh yang juga ahli parlimen Tanjung Karang bukan bakal berdepan dengan Rozali seorang, malah dikatakan Adun Sungai Burung, Datuk Mohd Shamsuddin Lias juga disebut-sebut akan 'menentang' Noh.
Shamsuddin, wakil rakyat di bawah parlimen Tanjung Karang itu sendiri dikatakan sudah 'terpisah' dengan Umno Tanjung Karang.
Maka, sudah tentu apabila gendang dipalu, suasana menjadi semakin membara dengan beberapa puak dalam Umno Selangor berlumba-lumba untuk mencapai matlamat mereka.
Sudah tentu juga terdapat nama pemimpin-pemimpin lain di seluruh bahagian di Selangor tidak akan ketinggalan untuk mengintai ruang dan peluang tersebut.
Sejauh mana nama-nama tersebut benar-benar bakal dicalonkan sebagai menteri besar, hanya Umno Selangor yang akan menentukan.
Soalnya, mampukan ahli-ahli BN, khususnya Umno Selangor mengambilalih pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum kelak?
Lebih-lebih lagi bagi Noh Omar yang dirundung pelbagai kontroversi yang melingkari beliau sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di Tanjung Karang.
Bagaimana penduduk Tanjung Karang yang begitu terkesan dengan skandal kolam udang di Tanjung Karang dapat mengangkat Noh sebagai menteri besar mereka?
Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dikatakan memiliki tanah seluas 30 ekar yang disewakan kepada syarikat Pristine Agrofood Sdn. Bhd. pada tahun 1995.
Tanah itu, yang pada mulanya dikatakan berstatus tanah komersial, dan kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian pada 2011 bagi tujuan projek penternakan udang.
Bagaimanapun, sudah tentu Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu akan berjuang habis-habisan bagi memastikan BN berjaya menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Noh memenangi kerusi Tanjung Karang dengan memperoleh undi sebanyak 16 073, berbanding calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin yang memperoleh undi sebanyak 12 253.
Kedua-dua Dun di bawah parlimen Tanjung Karang, iaitu Permatang dan Sungai Burung turut dimenangi calon BN iaitu Sulaiman Razak dan Datuk Mohd Shamsudin Lias, yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan