Jumaat, 2 November 2012

Ketua Pemuda Umno Kedah nak jatuhkan bekas bos?

 
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Muhd Nor berkata, Badrul Hisham itu sedang mengintai kerusi untuk bertanding.



PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrul Hisham Hashim menyerang pelaburan kerajaan negeri di Papua New Guinea (PNG) supaya tembelang bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahadzir Khalid terbongkar.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Muhd Nor berkata, Ketua Pemuda Umno  berbuat demikian kerana beliau sedang mengintai kerusi untuk bertanding.

“Dia sedang berkira-kira menggulingkan Adun Pedu, bekas bosnya. Bagaimana? Menyerang PNG bermakna membuka ruang supaya kes- kes lama bosnya dibongkar seluas mungkin.

“Setakat ini sudah empat kes projek sakit didedahkan. Kes 99 East Langkawi, kes Dewan Mentaloon dan kes Udang Kerpan berlaku di zaman Adun Pedu menjadi Menteri Besar,” dakwa Muhamad Sanusi.

Kerusi DUN Kuala Nerang tidak selamat kerana Datuk Syed Sobri Syed Hashim sudah  menunggu, dakwa Muhamad Sanusi.

Muhamad Sanusi juga mendakwa, ada  kes lain membabitkan Kedah Corporation Berhad (KCB) sewaktu Mahadzir menjadi Menteri Besar  yang belum didedahkan.

`Nak alih isu’

“Badrul Hisham patut tahu hal ini. Semua staf KCB mengetahuinya. Dalam projek Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH) dari Durian Burung ke Baling, terdapat beberapa jajaran jalan baru yang menempuh kawasan hutan balak.

“Nilainya berjuta juga. Semua kawasan itu diserahkan oleh MB kepada KCB. Tajul Urus (Datuk Tajul Urus Mat Zain) dan menantunya yang bertugas di KCB menguruskannya. KCB tidak menerima sebarang hasil dari pada kawasan balak itu,” katanya lagi.

Badrul Hisyam ketika dihubungi hari ini tetap menegaskan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak perlu mengaku dan bertanggungjawab terhadap kerugian KCB.

Katanya, Azizan juga perlu meminta maaf kepada rakyat Kedah terhadap kesilapan pelaburan itu.
Badrul Hisham menganggap kenyataan Muhamad Sanusi yang beliau mahu mendedahkan keburukan Mahadzir sebagai usaha untuk mengalihkan isu kerugian KCB.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini mendedahkan tentang pelaburan projek balak di PNG yang merugikan membabitkan syarikat berkenaan meminjam RM135 juta daripada bank, manakala projek penyelenggaraan perumahan awam kos rendah dilaporkan mengeluarkan kontrak dan membuat pembayaran yang meragukan.

Tiada ulasan: