Khamis, 22 November 2012

Keputusan ketepi kes Bersih 3.0 bergantung kepada taktik Umno

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh keputusan permohonan tiga pimpinan KEADILAN untuk mengetepi pertuduhan kes Bersih 3.0.

Majistret, Datuk Mahmud Abdullah turut menetapkan perbicaraan bagi kes sebenar ialah pada 4 Januari 2013.



Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shahrin dituduh mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana menyertai himpunan Bersih 3.0 dan boleh dihukum denda maksimum RM10,000.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kononnya bersubahat dalam kes Bersih dengan mengingkari perintah diisytiharkan majistret.

Mereka turut didakwa bersama-sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kononnya bersubahat memecahkan benteng ketika perhimpunan Bersih 3.0, pada 28 April lalu.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai CheguBard, berkata kes itu wajar diketepi jika mengikut pertimbangan logik dan perundangan.

“Ini kes politik. Ia akan diputuskan secara politik. Jika BN fikir, mengetepi kes akan beri kelebihan pada mereka, mereka akan ketepikan.

“Tapi jika BN mahu guna kes ini untuk halang kita bertanding, sekat gerakan dan sibukkan kita dengan proses mahkamah, mereka akan guna kes ini secukup-cukupnya,” katanya lagi.

Himpunan Bersih 3.0 menarik kehadiran ratusan ribu rakyat pelbagai kaum yang berhimpun serentak di bandar utama di Malaysia dan luar negara.

Ia bertujuan mendesak kerajaan membersihkan sistem pilihan raya dan isu daftar pemilih yang dimanupulasi parti pemerintah sejak sekian lama.

Tiada ulasan: