Isnin, 19 November 2012

JAIS pantau ajaran sesat di Selangor — Abdul Khalid

THE MALAYSIAN INSIDER

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. — Gambar fail
 
SHAH ALAM— Selangor akan terus mengekang kegiatan ajaran sesat di negeri itu hingga ke akar umbi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) giat mendapatkan bukti kukuh untuk bertindak ke atas kumpulan yang melanggar fatwa dan akidah.
 Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sepanjang tempoh 2011, sebanyak 11 kes ajaran sesat dilaporkan di Gombak dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana melanggar fatwa.

“Kita akan selesaikan masalah ini, Jais akan melakukan pemantauan ke atas kumpulan ini dan tindakan bakal diambil jika didapati mereka ini telah terpesong dari akidah,” katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rahman Palil pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Abdul Khalid turut menegaskan isu itu perlu diselesaikan secara bersama dan bukan berdebat dengan cara menyalahkan pihak lain.

Pada 1 Nov lepas, Jais menyerbu sebuah perhimpunan yang dihadiri lebih 3,500 orang, dipercayai diadakan sempena ulang tahun ke-75 pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad Ashaari.

Dalam serbuan itu, Jais menahan 16 individu termasuk anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Badrulamin Baharon kerana dipercayai cuba menghidupkan semula pertubuhan yang telah diharamkan. — Bernama

Tiada ulasan: