SINAR HARIAN
BESUT - Negara memerlukan ramai akauntan bertauliah bagi membantu
merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negara secara lebih teratur, kata
Naib Presiden Institut Akauntan Malaysia (IAM), Abdul Rahim Abdul Hamid.
Katanya buat masa ini negara mempunyai kira-kira 30,000 akauntan namun
hanya sekitar 7,000 yang melakukan kegiatan akauntan secara bertauliah
membabitkan kerja-kerja auditan.
"Jumlah ini masih kecil berbanding dengan keperluan negara seperti
Malaysia yang sedang meningkat maju dalam bidang kewangan sekarang,"
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Pelajar-pelajar
Akauntan 2012, di sini hari ini.
Katanya keadaan itu berlaku apabila hampir 65 peratus penuntut yang
menamatkan pengajian dalam bidang tersebut bergiat dalam bidang lain
termasuk kerja makan gaji.
Untuk menangani masalah itu, IAM bercadang mengambil akauntan lulusan
luar negara namun mereka perlu mendapat pengiktirafn IAM terlebih dahulu
sebelum dianugerah status 'Associate Accountant', katanya.
Selain itu katanya, bidang akauntan juga dikuasai kaum wanita dengan
kadar 60:40 dan ramai kaum hawa memilih berundur daripada bidang
tersebut apabila sudah berkeluarga.
Walaupun kerja sebagai akauntan boleh menjana pendapatan yang besar,
beban tugas yang berat termasuk harus bekerja lebih masa menyebabkan
ramai kaum hawa berhenti kerja kerana menumpukan kepada keluarga,
katanya.
Persidangan tahunan yang dianjurkan bersama IAM, Universiti Sultan
Zainal Abidin (Uniza) dan Universiti Malaysia Terengganu itu disertai
300 pelajar bidang akauntan dari 13 universiti tempatan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan