Isnin, 19 November 2012

72 maut sejak Rabu, Palestin mahu komuniti antarabangsa bantu

SINAR HARIAN

72 maut sejak Rabu, Palestin mahu komuniti antarabangsa bantu
Anggota bomba memadam kebakaran susulan serangan Israel ke atas sebuah rumah di Gaza City, semalam. - Foto ihsan Reuters
 
KAHERAH - Serangan udara Israel membunuh 11 rakyat Palestin semalam - jumlah tertinggi dalam satu hari sejak Israel melancarkan serangan Rabu lalu sementara kepimpinan Palestin merayu Liga Arab mengadakan sidang kemuncak untuk membincangkan pencerobohan negara Yahudi itu.

Tekanan masyarakat antarabangsa meningkat bagi menghentikan konflik lima hari ini.

Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby dijangka melawat Gaza esok.

Daripada 11 yang terbunuh semalam, empat adalah kanak-kanak.

Serangan Israel semalam turut meranapkan sebuah rumah tiga tingkat.

Mesir sedang mengusahakan gencatan senjata.

Media Israel pula melaporkan bahawa delegasi negara itu kini berada di Kaherah untuk menghadiri perbincangan menamatkan konflik.

Bagaimanapun laporan berasingan pula menyebut negara itu bersedia meningkatkan serangan ketenteraan ke atas Gaza.

Presiden Mesir, Mohamed Mursi telah mengadakan pertemuan dengan ketua biro politik Hamas, Khaled Meshaal dan ketua pergerakan Islamic Jihad, Ramadan Shallah - sebahagian usaha mengatasi ketegangan di Palestin-Israel.

Laporan Reuters memetik Izzat Risheq, seorang pembantu rapat Khaled berkata, Hamas akan menerima gencatan senjata hanya selepas Israel mengentikan pencerobohan, menghentikan sasaran membunuh pemimpin-pemimpin Palestin dan menarik balik sekatan ke Gaza.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Israel Moshe Yaalon yang menulis menerusi Twitter berkata, Israel akan menerima gencatan senjata hanya jika situasi tenang di selatan dan tiada roket dilancarkan terhadap rakyat negara Yahudi itu.

"... tidak ada serangan pengganas digerakkan dari Genting Gaza, kami tidak akan menyerang," katanya.

Pegawai-pegawai Gaza mengesahkan 72 rakyat Palestin termasuk 21 kanak-kanak terbunuh sejak Rabu lalu.

Tiada ulasan: