Selasa, 13 Mac 2012

Zuraida mahu Noh Omar perjelas isu NFC di Parlimen

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mahu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar bertanggungjawab dalam pemberian pinjaman sebanyak RM250 juta kepada syarikat National Feedlot Corporation (NFC).

Menurut Zuraida, beliau membentangkan usul tergempar itu kerana Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani belum tampil memberi penjelasan tentang isu tersebut.

“Isu yang nak dibahaskan ialah bukan mengenai NFC, tetapi tangunggjawab Kementerian Kewangan dan Kementerian Industri Asas Tani. Hampir kesemua wang digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Apa yang dipertikaikan ialah cara projek tersebut diluluskan kerana banyak persoalan yang wujud dan amat meragukan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Noh Omar selaku menteri bertanggungjawab sebelum ini mengaku bahawa pinjaman kepada syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak dibincangkan pada kabinet sebaliknya dibincangkan di bawah Jawatankuasa Projek-projek Berimpak Tinggi sahaja.

Terdahulu, Zuraida membawa usul tersebut dibawah peraturan mesyuarat 18 (1) pada 9 Mac 2012.

Namun, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyatakan bahawa kes NFC kini sedang dibicarakan di mahkamah, lalu menolak dalam kamar usul tersebut dengan menggunakan peraturan mesyuarat 18 (7) (c).

“Perkara yang kita bangkitkan amat berbeza dan tiada kaitan dengan peletakan jawatan Menteri Wanita,” kata Zuraida.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dr Siti Zailah turut menasihatkan Shahrizat untuk turut meletakkan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

“Dewan Muslimat simpati dengan nasib Shahrizat, apabila terpaksa meletakkan jawatan kerana isu ini membabtikan suaminya.

“Dalam keadaan cukup tertekan seperti ini dan untuk meringankan beban, kami cadangkan Shahrizat lepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno,” katanya.

Tiada ulasan: