Khamis, 1 Mac 2012

Zamil telah dipecat parti pada 7 Feb, Zaid ketua yang sah, kata SU Kita


KUALA LUMPUR — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) menegaskan Zamil Ibrahim yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden baru parti itu telah dipecat keanggotaan pada 7 Februari lalu.

Justeru menurut Setiausaha Kita pusat Masrum Dayat, ekoran pemecatan itu Zamil tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti diterajui Datuk Zaid Ibrahim (gambar).

Jelas beliau, apa-apa kenyataan dikeluarkan Zamil bukan mewakili parti sebaliknya diri sendiri.

“Oleh itu parti ini tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap apa-apa tindakan atau kenyataan dibuat beliau (Zamil).

“Kenyataan-kenyataan beliau tidak ada kaitan dengan parti ini sebaliknya adalah kenyataan peribadi beliau sendiri,” kata Masrum dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, sebagai sebuah pertubuhan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, ketua parti masih dipegang Zaid selain direkodkan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Masrum menambah sebarang maklumat mengenai parti itu boleh didapati di pejabat parti Kita yang terletak di Petaling Jaya.

Sebelum ini Zamil berkata RoS telah melantik dirinya sebagai ketua parti Kita untuk menggantikan Zaid.

Beliau berkata RoS mengambil keputusan itu setelah meneliti tindakan bekas presidennya, gagal mengadakan mesyuarat di Kota Bharu, Kelantan pada 25 Februari lalu dan tergesa-gesa memberi notis untuk menangguhkan ke tarikh lain iaitu 28 April ini.

Selain kejayaan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari yang sama dan beberapa perwakilan terutama dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Sabah dan Pulau Pinang sebulat suara untuk memilihnya, kata Zamil, jawatan yang dipegang Zaid secara automatik terlucut.

Tiada ulasan: