Selasa, 27 Mac 2012

SMS berantai: Adun BN boikot sidang dewan

Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) bangkit dan memohon penjelasan daripada Speaker berhubung SMS berantai itu.


Sekitar Dun Selangor


SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) memboikot daripada terus menghadiri persidangan dewan gara-gara satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menunjukkan ketidakadilan Speaker, Datuk Teng Chang Khim.

Teng menulis SMS berantai dalam satu kumpulan BBM untuk menasihatkan para exco membahas sesi penggulungan seperti dilakukan Yaacob Sapari (PKR-Kota Anggerik) semalam, dengan menyentuh kejayaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor selama empat tahun.

Perkara itu dibangkit Adun-BN Sungai Burong Dato’ Shamsudin Lias dan dibaca Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) dan SMS tersebut dibaca dalam sidang dewan yang berlangsung di sini hari ini.

Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) kemudian bangkit dan memohon penjelasan daripada Teng berhubung SMS berantai itu.

Walau bagaimanapun Teng dengan tenang membenarkan Adun BN untuk membawa usul ke atasnya dalam sidang dewan.

Dalam sidang media yang menyusul kemudian, Abdul Shukor terus mendesak Teng untuk memohon maaf secara terbuka kepada semua exco.

Beliau berpendapat tindakan menghantar SMS itu sepatutnya dilakukan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Speaker perlu berlaku adil. Bila (Teng) hantar SMS itu menunjukkan beliau berat sebelah terhadap exco. Sepatutnya ini kerja Menteri Besar dengan memberi mesej agar exco beri hujah yang baik.

“Kenapa speaker bertindak sedemikian rupa? Selama ini kita tidak mendapat keadilan yang sebenar. Maka kami mahu speaker mohon maaf secara terbuka,” katanya dalam sidang media sejurus perkara itu dibangkit di dalam dewan.

“Kita tidak berminat nak bawa usul sebab kami dah kecewa. Semua ahli dewan pembangkang rasa tidak selesa dan kita tidak akan hadir sampai Jumaat (jika dewan tamat pada hari tersebut). Ini hari terakhir kami disini,” katanya ketika ditanya pemberita jika usul akan dibawa ke atas speaker dewan.



Speaker dakwa Hasan sebar SMS

Sementara itu Teng yang mengakui bertindak sedemikian, namun mendakwa Datuk Dr Hasan Ali (Bebas-Gombak Setia) bertindak menyebar SMS berantai itu kepada Adun BN lain.

“Sudah tentu Hasan Ali…..beliau yang sebarkan kepada Umno. Jati dan Umno punya hubungan yang akrab. Saya hantar SMS itu melalui kumpulan BBM yang turut disertai Hasan Ali,” dakwa beliau.

Ditanya pemberita mengenai SMS berantai itu, Teng menjelaskan tindakan itu adalah satu cara beliau untuk menasihati Exco dan Adun.

Katanya sebagai ahli dewan yang senior beliau sering dirujuk oleh anggota lain, malah mempertahankan tindakan beliau dengan berlaku adil kepada semua pihak, tidak kira pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Itu cara saya bagi nasihat kepada Adun. Semalam saya tegur (Dr) Xavier Jayakumar kerana sentuh tentang SPR. Saya lakukan secara adil. Yang betul saya puji, yang salah saya tegur,” katanya yang juga Adun DAP-Sungai Pinang.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Adun BN yang memboikot sidang dewan sedangkan sesi penggulungan tentang dasar kerajaan negeri dibuat hari ini.

Tiada ulasan: