Jumaat, 16 Mac 2012

S'gor beli 50 jentera baru untuk atasi masalah sampah

Kerajaan Negeri Selangor telah membeli sebanyak 50 buah trak penyendat untuk disewakan kepada kontraktor bagi menyelesaikan isu kutipan sampah yang berlaku di tiga kawasan majlis perbandarannya – Petaling Jaya, Subang Jaya dan Selayang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, jentera yang akan tiba pada April itu diharapkan mampu membantu kontraktor yang tidak mempunyai mesin tersebut untuk menjalankan tugas mengutip sampah.

"Kerajaan Negeri membeli dalam 50 buah kompektor secara berperingkat bagi membantu mereka kerana jika mereka sewa di luar, harga paling tinggi yang pernah saya dengar mencecah RM16,000 sebulan.

"Jadi diharap, dengan pembelian ini dapat membantu kontraktor membuat kerja," katanya pada sidang media di bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sukiman dan Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala.

Menurut Liu lagi, langkah lain bagi mengatasi isu sampah ialah dengan mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menubuhkan 'in house' kontraktor sebagai salah satu cara untuk memberi peluang kontraktor mengutip sampah.

Jelas Liu, 'in house' kontraktor itu mestilah tidak melebihi 15 peratus kontraktor yang berada di bawah PBT.

"In house kontraktor ini satu langkah yang baik dan ia sebagai 'back-up' dengan merekrut pekerja mereka sendiri dan juga dengan membeli atau menyewa jentera.

"Kita juga akan turut edarkan nama dan nombor telefon kontraktor yang telah kami yakin tidak akan undur diri, kepada penduduk bagi memudahkan mereka berhubung jika ada sampah yang tidak diangkut," katanya.

Tiada ulasan: