Ahad, 11 Mac 2012

RM2.65J Untuk Tingkat Pasarana UNISEL




SHAH ALAM : Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.65 juta bagi meningkatkan prasarana teknologi dan komunikasi (ICT) Universiti Selangor (UNISEL).

Peruntukkan tersebut diberi baru-baru ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk membina kelompok masyarakat yang mahir dalam penguasaan bidang ICT yang semakin pesat dan canggih.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berucap dalam Istiadat Konvokesyen UNISEL kali keenam bagi sidang tujuh juga menyeru pelajar dan para graduan supaya membudayakan kecemerlangan dan kemahiran serta mengelakkan budaya “cakap tak serupa bikin” atau membuat kenyataan tanpa bukti dan kajian terlebih dahulu.

” Mungkin ada pernah mendengar orang yang berjawatan menteri yang bercakap tentang pengurusan dan kewangan tetapi sebenarnya dia tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman mengurus kewangan dan syarikat korporat sehinggakan kenyataannya boleh dipertikaikan malah menjadi bahan lucu bagi orang yang arif dalam bidang berkenaan,” katanya.

Khalid yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd/UNISEL berkata pelajar juga harus meningkatkan pembangunan insan dengan kerjasama daripada keluarga dan masyarakat sekitar.

” Hal ini demi melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak dan beriman serta menjadikan kerajaan negeri Selangor merupakan negeri ilmu atau hab ilmuan.

” Dasar dan aspirasi Kerajaan Negeri secara keseluruhannya juga bermatlamat untuk membentuk golongan berpendidikan tinggi dan profesional,” katanya.

Dalam konvokesyen itu, seramai 259 graduan menerima ijazah dan diploma termasuk 86 orang akan menerima diploma bagi program Japanese Associate Degree Programme (JDA), hasil kerjasama UNISEL dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) sebagai penaja.

Hadir sama dalam konvokesyen terbabit ialah Canselor UNISEL, Raja Tan Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, Pro Canselor UNISEL, Tan Sri Ismail Adam dan Datuk Seria Dr Anuar Masduki serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali.

Tiada ulasan: