Rabu, 21 Mac 2012

PSC Lynas: MP Pakatan keluar dewan

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

Fuziah-Salleh

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bertindak keluar dewan sejurus Dewan Rakyat meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk meneliti isu nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Perbahasan yang di berlangsung hangat sejak dari mula dibuka itu akhirnya mendapat mendapat undian majoriti dewan.

Bagaimanapun, wakil rakyat PR yang sejak dari awal menolak usul penubuhan jawatankuasa tersebut tetap tidak berpuas hati walaupun telah mendapat penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan bertindak keluar dewan.

Ahli Parlimen Kuantan (PKR), Fuziah Salleh mendakwa, penubuhan jawatankuasa khas itu sebagai cubaan kerajaan untuk menutup keburukan pembinaan pusat nadir bumi itu.

"Kami mahu mengambil bahagian dalam jawatankuasa itu jika ia boleh memberi kebaikan kepada rakyat, tetapi melihat kepada sebab penubuhan ini... kami fikir tiada makna... untuk kami terlibat.

"Kalaupun PSC isytihar ia berbahaya, pentadbiran BN akan menipulasi situasi itu, kerana projek itu sudahpun ada di Gebeng," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

PSC ditubuhkan bagi meneliti isu-isu yang menjadi perhatian pihak awam serta standard keselamatan projek tersebut.

Ia diberi tempoh tiga bulan, akan dianggotai oleh sembilan Ahli Parlimen iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN), tiga mewakili pembangkang dan seorang wakil Bebas.

Pada sesi perbahasan pagi, dewan kecoh apabila Ahli Parlimen Kuala Krai (Pas), Dr. Hatta Ramli mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal Pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek Lynas.

"Hari ini kita bahas tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri... bahawa penubuhan PSC ini untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut.

"Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi... untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?" soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila Ahli Parlimen BN dan Bebas mengusik wakil rakyat PR susulan ketiadaan pakar nuklear daripada Pas iaitu Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che' Rosli Che' Mat di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali turut membuat cabaran agar Pas meletakkan Che Rosli sebagai wakil mereka dalam PSC jika Pas benar-benar ikhlas.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak mengambil apa-apa tindakan dan hanya berdiam diri sebelum bertindak meminta semua wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam (Pas) Khalid Samad mendesak kerajaan agar segala perkara berkaitan projek Lynas itu dihentikan sehingga PSC mencapai keputusan yang boleh diguna pakai.

"Saya melihat penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor (Pas) Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau kecewa apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inikah yang dinamakan kerajaan mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya? Itupun melalui laporan New York Times," katanya.

Katanya, projek itu hanya akan memberi kemudaratan kepada rakyat terutamanya dari sudut kesihatan.

"Sedangkan oksigen sendiri jika berlebihan akan memberi kesan langsung kepada kerosakan retina yang boleh mencacatkan penglihatan, inikan pula bahan radioaktif yang menjadi soal pokok isu ini," katanya.

Dzulkefly dalam perbahasannya berkata, Pas hanya akan menyertai jawatankuasa itu dengan tiga syarat iaitu kerajaan perlu mengeluarkan arahan henti kerja di tapak projek itu, tarik balik permit kerja sementara (TOL) dan hentikan import 'rare earth concentrate'.

Tiada ulasan: