Selasa, 27 Mac 2012

PRU 13 Dijangka September Ini?

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR : Spekulasi tarikh pilihan raya umum kini tertumpu pada bulan September berbanding desas desus sebelum ini yang mengatakan bahawa ia mungkin diadakan pada Jun nanti.

Antara faktor yang dikatakan pilihan raya tidak mungkin dapat diadakan pada Jun adalah kerana beberapa isu akan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan. Selain itu, rancangan perjalanan luar negara oleh Perdana Menteri juga membayangkan pilihan raya tidak akan diadakan pada bulan berkenaan.

 Adalah difahamkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan untuk melawat Amerika Syarikat pada minggu kedua bulan Mei, di mana beliau dijangka bertemu pegawai Majlis Penasihat Inovasi dan Sains Global di New York.

Majlis itu ditubuhkan dengan matlamat melonjakkan negara ini daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada yang berpendapatan tinggi.

Akhbar harian Inggeris, The Star yang memetik sumber, berkata Najib mungkin menghabiskan lima hari di Amerika Syarikat, dan selepas itu beliau dijadualkan bercuti pendek dengan keluarganya.

"Kita tidak tahu sama ada ini adalah petunjuk kepada media sebagai persediaan untuk pilihan raya yang kini semakin rancak," kata seorang petugas rasmi Barisan Nasional (BN) yang dipetik akhbar itu.

Sabtu lalu, pada majlis penyerahan 70 unit rumah mampu milik berkualiti tinggi di Taman Intan Duyung, Port Dickson, Najib membayangkan bahawa pilihan raya umum ke-13 semakin hampir dan berkata beliau merasakan bahawa keyakinan rakyat pada Kerajaan telah meningkat.

" Saya rasa-rasalah dan bila sudah ada rasa tu, bunyinya sudah dekatlah tu (pilihan raya umum)," katanya.

Sebelum ini, ramai penganalisis politik membuat spekulasi bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan pada Jun ini tetapi Perdana Menteri dipercayai mempunyai beberapa isu yang perlu diselesaikan.

Dengan hanya beberapa hari menjelang April dan rundingan pertukaran kerusi di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional masih dijalankan manakala senarai calon-calon masih belum dimuktamadkan, maka Jun dilihat bukan bulan yang sesuai.

Najib juga akan membuat lawatan dua hari ke China dari 31 Mac di mana beliau akan menghadiri pelancaran Taman Perindustrian Qizhou di Nanning dengan rakan sejawatannya dari China Wen Jiabao.

Jika Perdana Menteri tidak mengadakan pilihan raya pada Jun, maka tarikh atau bulan seterusnya adalah Julai apabila bulan puasa pula akan bermula.

"Seluruh Ogos pula akan sibuk dengan sambutan Hari Raya dan berterusan sehingga Hari Kebangsaan," kata seorang penganalisis, sambil menambah bahawa Najib boleh mengambil kesempatan daripada faktor-faktor seperti mood cuti dan semangat patriotik sempena ulang tahun Merdeka.

Jika September dipilih, The Star memetik seorang lagi penganalisis lain berkata, ia mesti diadakan pada minggu pertama bulan itu.

"Ia tidak boleh diadakan pada lewat September kerana musim haji sudah bermula dan berakhir hanya pada Oktober. Ini diikuti sidang Parlimen dari 24 Sept hingga Nov 27, di mana Bajet akan dibentangkan. Apabila dibentangkan, ia perlu diluluskan oleh Dewan Negara, yang bermakna (sesi bajet itu) akan berlarutan sehingga tahun depan, " katanya lagi.

Tiada ulasan: