Kumpulan itu turut menyerahkan sekeping 'batu nisan' kepada pegawai KPT sebagai tanda simbolik demokrasi yang telah mati.
PUTRAJAYA: Kecewa dengan Pilihan Raya Kampus yang ditangguhkan sehingga September depan, kira-kira 100 mahasiswa berdemontrasi di perkarangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini membantah keputusan tersebut dan mahu ia diadakan secepat mungkin.
Kumpulan mahasiswa terbabit mula berkumpul secara aman di hadapan bangunan KPT selepas solat Jumaat sambil membawa sepanduk “Hidup Mahasiswa”, “Kembalikan Autonomi Mahasiswa” sambil melaungkan ‘hidup mahasiswa’ dan ‘hancur kezaliman’.
Pilihan raya kampus sepatutnya bermula pada 26 Mac sehingga April depan tetapi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP)
dikatakan menangguhkannya pada saat akhir dan mengumumkannya melalui laman sosial Facebook.
Sedangkan majoriti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) telah dibubarkan dan Jawatankuasa Pemilihan MPP baru sudah ditubuhkan, namun akhirnya turut dibubarkan atas alasan yang tidak munasabah.
Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional Mohd Syahid Mohd Zaini berkata tindakan itu langsung tidak profesional, mengelirukan dan membelakangkan mahasiswa.
Katanya, HEP memberikan alasan terpaksa ditangguhkan kerana mahu menyelarasakan pilihan raya serentak diperingkat Diploma dan Ijazah, selain menunggu pindaan Seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) yang akan diputuskan di Parlimen bulan depan.
“Sekiranya pilihan raya kampus sengaja dilewatkan sehingga sesi hadapan, keseluruhan kampus tiada barisan kepimpinan yang dipilih secara majoriti.
“Sedangkan mahasiswa memerlukan sebuah pimpinan baru yang akan mengetuai perjalanan kampus.
“Kesannya, banyak isu tertangguh yang tak mampu ditangani dengan baik,” katanya sebelum menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abdul Malik.
Penjaga Eksekutif
Kumpulan itu turut menyerahkan sekeping ‘batu nisan’ kepada pegawai KPT sebagai tanda simbolik demokrasi yang telah mati.
Sementara itu, Mohd Syahid berkata pilihan raya kampus juga sepatutnya menjadi peluang terbaik mahasiswa belajar memahami proses demokrasi melalui kempen dan pengundian memandangkan 60 peratus daripadanya adalah pengundi muda Pilihan Raya Umum akan datang (PRU13).
Namun sebaliknya apabila BHEP menubuhkan Penjaga Eksekutif yang berfungsi sebagai orang tengah dan melantik pemimpin tanpa suara atau pandangan majoriti mahasiswa.
“Mahasiswa yang dilantik dalam Penjaga Eksekutif sekarang dilihat kebanyakannya sudah semester akhir.
“Kebanyakan mereka yang akan tamat tempoh pengajian pada hujung Jun depan, mereka sepatutnya fokus terhadap pengajian akademik dan tidak dibebankan dengan kerja mengurus yang terlalu banyak,” katanya.
Sekiranya pilihan raya kampus ini dijadikan senjata oleh pihak tertentu, katanya tidak hairan sekiranya mahasiswa berani bertindak lebih jauh dalam hali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan