Rabu, 21 Mac 2012

"Pertubuhan Pertahankan Tanah Warisan Kita" selepas ekspedisi jelajah warisan

Wong Swee Nee


Pertubuhan Pertahankan Tanah Warisan Kita telah ditubuhkan selepas satu ekspedisi menjelajah ke tanah warisan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, kelmarin. Ekspedisi ini telah menjelajah ke Kampung Bandar Dalam, Kampung Baru, Tokong Mee Thor Gan, Jalan Sultan dan Kampung Kerinchi - tanah warisan yang bakal dimusnahkan untuk memberi laluan kepada projek mega seperti MRT, lebuh raya, kompleks membeli-belah dan bangunan pencakar langit.

Kesemua tanah warisan di atas mempunyai sejarahnya, dengan Kampung Bandar Dalam yang berusia lebih daripada 150 tahun, Kampung Baru yang dibuka sejak tahun 1900, Tokong Mee Thor Gan yang dibina di Ampang pada tahun 1906, Jalan Sultan yang berusia 120 tahun dan Kampung Kerinchi yang berusia setengah abab. Ekspedisi ini dianjurkan bersama oleh MUAFAKAT (Majlis Permuafakatan Perkampungan Warisan Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Projek Seni Komuniti Jalan Petaling, Komuniti Kampung Kerinchi dan Komuniti Jalan Sultan.

Dua buah bas disewa untuk tujuan ekspedisi ini, masing-masing bertolak dari Jalan Sultan dan Kampung Bandar Dalam pada jam 8.30 pagi, Ahad lalu. Malah rombongan yang terdiri daripada pelbagai kaum ini memeriahkan setiap tapak warisan yang dikunjungi dengan paluan kompang. Mereka bergambar di sana, bersama-sama melaungkan slogan "Pertahankan Warisan Kita" dalam bahasa Melayu dan bahasa Cina.

Cikgu Ishak Surin selaku Pengerusi mengumumkan penubuhan "Pertubuhan Pertahankan Tanah Warisan Kita" ketika di Kampung Kerinchi. Beliau berkata, rakyat berkuasa untuk menentukan arah pembangunan. Cikgu Ishak Surin mengkritik pemerintah menganggap dirinya boleh bertindak sesuka hati, dan kini Jalan Sultan juga menerima ancaman. Pertubuhan Pertahankan Tanah Warisan Kita dengan tegas menolak kezaliman ini.

Ishak Surin berkata, Pertubuhan Pertahankan Tanah Warisan Kita kini dianggotai MUAFAKAT dan Projek Seni Komuniti Jalan Petaling, dan mereka akan menjemput lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertainya, dengan harapan tanah warisan dapat dikekalkan.

Tan Yew Sing, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor yang turut serta dalam rombongan ini juga berkata, tindakan mempertahankan tanah warisan Jalan Sultan telah menjadi satu gerakan melangkaui batas kaum. Tan Yew Sing menyeru agar pemaju tidak merobohkan Jalan Sultan, kerana Perdana Menteri Najib Razak telah menyatakan hasratnya untuk mengkaji kes ini.

Kampung Kerinchi menjadi lokasi pertama yang dikunjungi dalam ekspedisi ini, diikuti dengan Jalan Sultan, Kampung Baru, Kampung Bandar Dalam dan diakhiri dengan Tokong Mee Thor Gan di Ampang. Satu upacara menulis kaligrafi telah dijalankan di tokong ini, malah Ishak Surin menurunkan tulisan dengan kaligrafi dalam bahasa jawi, "Pertahankan Warisan Kita".

Satu majlis membaca doa yang ringkas telah diadakan di tokong untuk mengakhiri ekspedisi itu, dipimpin oleh Ishak Surin, dan penganut agama yang lain membaca doa dengan cara masing-masing.

*Wong Swee Nee ialah wartawan khas MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 18 Mac 2012.

Tiada ulasan: