Khamis, 22 Mac 2012

NGO gagal serah memo pada setiausaha agung PBB

Sekumpulan NGO hari ini gagal untuk menyerahkan memorandum mengenai hak asasi manusia di Malaysia kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

Sebaliknya, seorang wakil Wisma Putra menawarkan diri untuk menyampaikan memo kumpulan itu kepada seorang pegawai PBB, yang akan menerima bagi pihak Ban.

Bagaimanapun, mereka menolak tawaran tersebut kerana pegawai PBB berkenaan berpejabat di Malaysia, dan berkata mereka akan menimbang semula jika pegawai PBB berpangkalan di New York atau Geneva.

Jurucakap NGO tersebut berkata mereka berharap Ban akan membangkitkan isu-isu hak asasi manusia di Malaysia dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Delegasi tujuh orang wakil daripada 24 NGO itu, termasuk Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, dan Fadiah Nadwa dari Lawyers For Liberty.

Ban yang dalam lawatan rasmi dua hari itu, dibawa melawat Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di Kuala Lumpur pagi ini dan akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri esok.

Tiada ulasan: