Jumaat, 9 Mac 2012

Najib jangan lupa bawa usul mansuh ISA

Anis Nazri,


KUALA LUMPURc: Menjelang persidangan parlimen yang akan bermula 12 Mac ini, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar), menegaskan Najib perlu mengotakan janjinya untuk membawa usul pemansuhan akta itu pada sidang parlimen kali ini.

"Ini kerana semasa sidang parlimen pada 3 Oktober 2011, Najib menyatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat (EO) hanya akan dibentang pada Mac 2012.

"Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan," kata beliau dalam kenyataannya, hari ini.

Bagaimanapun, persoalan yang dibangkitkan GMI, adakah benar usul pemansuhan tersebut akan dibawa ke sidang parlimen, di samping penderafan dua akta pengganti ISA tersebut sudah dilakukan.

Setakat ini, Syed Ibrahim mendakwa keadaan yang berlaku hari ini menunjukkan ’cakap tak serupa bikin’ kerana tiada tanda-tanda menggambarkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan tiada rundingan dijalankan untuk dua akta baru berkenaan.

Malah, tambah beliau kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa menteri menunjuk kesemua 'isu-isu berduri' dalam ISA adalah sah dikekalkan dalam dua akta baru, melainkan beberapa pindaan kecil berkaitan dengan tempoh penahanan, notis kepada keluarga tahanan dan membuat rayuan.

"Ini disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 21 November 2011 seperti yang dilaporkan Bernama, di mana beliau mengatakan bahawa undang-undang baru yang menggantikan ISA akan tetap ada peruntukan tahan tanpa bicara," katanya lagi.

Sebelum ini, Najib dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 Sept 2011, mengumumkan untuk memansuhkan semua akta yang disifatkannya lapuk seperti ISA dan EO, selain memberikan komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Dalam perutusan yang sama, Najib turut mengumumkan hasrat Kerajaan untuk membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

Beliau mengaitkannya dengan realiti Malaysia yang telah berubah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian,

Ekoran itu, Syed Ibrahim menegaskan GMI mendesak Perdana Menteri untuk mematuhi janjinya dan memansuhkan ISA dalam sidang parlimen pada 12 Mac ini.

"Dalam masa sama, semua akta yang memperuntukkan tahan tanpa bicara seperti EO dan Akta Dadah Merbahaya juga mesti dimansuhkan," tegas beliau.

Selain itu, tambah Syed Ibrahim sekiranya dua akta baru tetap digubal, elemen drakonian yang dominan dalam ISA seperti tahan tanpa bicara, penahanan dan kuasa wewenangan polis dan menteri mestilah tidak wujud.

Perkara-perkara lain yang dituntut GMI ialah:

1. Rundingan awam mesti dilaksanakan sebelum kerajaan memulakan atau membentangkan apa-apa undang-undang baru dalam parlimen.

2. Kem Tahanan Kamunting mestilah ditutup dan diiktiraf sebagai Warisan Dunia atau Muzium seperti Pulau Robben, Afrika Selatan sebagai simbol ketidakadilan dan kezaliman ISA;

3. Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi atas ISA perlu diwujudkan untuk menegakkan keadilan bagi semua mangsa penyeksaan dan penganiayaan di bawah ISA dan pemangsa mereka dibawa ke muka pengadilan;

4. Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

5. Kerajaan patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan, dan

6. Kerajaan menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT).

Tiada ulasan: