Rabu, 7 Mac 2012

Najib, bertaubatlah dulu…

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Najib Razak disaran supaya memohon maaf untuk kesalahannya sendiri terlebih dahulu sebelum memohon maaf untuk kesilapan-kesilapan Barisan Nasional.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata demikian berikutan tindakan Presiden United Malays National Organisation (UMNO) yang memohon maaf untuk kesilapan-kesilapan BN sehingga mengakibatkannya kehilangan lima negeri dan sejumlah besar kerusi parlimen dalam tsunami politik 8 Mac 2008 yang bakal menyambut ulang tahun keempatnya esok.

“Kesilapan apa yang sebenarnya dilakukan oleh BN masih kekal misteri,” kata Kit Siang, memandangkan permohonan ampun maaf Perdana Menteri tidak pula menyatakan secara spesifik apa sebenarnya salah silap itu.

Begitu juga tindakan ‘ganjil” para pemimpina UMNO apabila permohonan maaf Najib empat hari lalu disambut hambar oleh timbalannya, Muhyiddin Yasin yang lebih menyarankan bossnya untuk terus pandang ke depan dan tidak lagi ambil pusing tentang kesilapan lalu.

Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan pula menyisihkan permohonan maaf Najib itu dengan menegaskan bahawa parti itu mahu rakyat memberi UMNO dua pertiga undi untuk “memperbetulkan salah silapnya”.

“Adakah Najib sebenarnya tahu apa kesilapan BN yang diakuinya itu atau adakah itu sekadar satu lakonan politik untuk meraih undi,” ujar Kit Siang lagi.

Menurut beliau, adalah lebih baik Najib Razak memohon maaf untuk salah silapnya sendiri sepanjang 35 bulan menjadi Perdana Menteri, iaitu:

  1. Rampasan kuasa tidak sah, tidak demokratik dan tidak mengikut lunas-lunas Perlembagaan di negeri Perak; yang didalangi oleh Najib Razak dua bulan sebelum menjadi Perdana Menteri.
  2. Kegagalan untuk mempertahankan polisi 1Malaysia-nya yang menyarankan keserataan bangsa tanpa kira kaum, agama dan status sosio-ekonomi apabila timbalannya sendiri mengakui bahawa dia seorang Melayu dahulu, Malaysia kemudian.
  3. Politik hipokrit Najib apabila beliau bersungguh mengajar kesederhanaan di peringkat global tetapi membiarkan ekstrimisme kaum dan agama yang dipacu oleh Utusan Malaysia, dengan dibantu Perkasa berleluasa di Malaysia.
  4. Ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang mengancam untuk mempertahankan Putrajaya “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa” seolah-olah tidak menghormati demokrasi dan tidak akan menerima keputusan pilihan raya yang bakal merobah kerajaan di Putrajaya.
  5. Keganasan politik yang semakin menjadi-jadi terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis masyarakat, seperti kekerasan terhadap peserta himpunan anti-Lynas di Pulau Pinang oleh Pemuda UMNO dan Perkasa.
  6. Gejala rasuah yang semakin teruk di Malaysia, berikutan indeks persepsi rasuah (CPI) Transparency International yang menunjukkan Malaysia berada di tangga ke 60, meletakkan negara pada tahap paling korup sepanjang sejarah 55 tahun usia negara di bawah enam Perdana Menteri.
  7. Kematian Teoh Beng Hock dan kegagalan untuk bertindak terhadap pembunuhnya di kalangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan juga kegagalan untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab ke atas kematian Ahmad Sabaini di premis SPRM dan juga V. Kugan yang mati dalam tahanan Polis.
  8. Kembalinya politik Mahathirisme, dengan generasi seterusnya masih terbeban dengan skandal kewangan Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, termasuk yang paling baru untuk menyelamatkan Tajudin Ramli dengan penyelesaian luar mahkamah.
  9. Politik korup dan kronisme berterusan misalnya pemberian kontrak Kinrara-Damansara Expressway bernilai RM 2.2 Bilion kepada peguam UMNO, Datuk Hafarizam Harun dan isteri kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.
  10. Sikap tidak endah Perdana Menteri untuk mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap masalah pendatang haram Sabah yang telah membuatkan warga Sabah menjadi asing dan minoriti di tanah sendiri.

“Di mana Najib akan mula dahulu?” soal Kit Siang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: